Warga emas sasaran penipuan dalam talian

DALAM siri pertama Laporan Khas Internet Selamat pada 14 Oktober lalu, Sinar Harian mendedahkan ancaman buli siber dalam kalangan remaja yang semakin membimbangkan apabila kemudahan mengakses media sosial membuka ruang kepada penghinaan, ejekan dan penyebaran kandungan memalukan.
Lebih merisaukan, terdapat remaja yang mengambil pil penenang bagi meredakan tekanan emosi.
Siri kedua pula memberi fokus kepada warga emas yang menjadi sasaran penipuan dalam talian dengan taktik meraih kepercayaan dan simpati mangsa termasuk menyamar sebagai individu dikenali.
Ikuti laporan khas ini yang mendedahkan pengalaman warga emas dan keluarga berdepan penipuan digital serta faktor yang menyebabkan mangsa mudah dimanipulasi.
SEREMBAN – Tindakan ahli keluarga memeriksa nombor telefon yang menghantar mesej melalui WhatsApp memohon bantuan kewangan, berjaya menyelamatkan seorang bekas tentera daripada berterusan diperdaya scammer.
Menantu mangsa, Md Sani Md Shah, 48, berkata, mesej tersebut dihantar oleh individu yang menggunakan gambar profil rakan kepada bapa mentuanya.
“Bapa mentua cuba menghubungi nombor telefon berkenaan, tetapi tidak berjawab. Dia kemudian menghubungi pula nombor telefon rakannya yang disimpan, namun panggilan itu juga tidak berjawab.
“Jadi dia tidak berasa curiga dan atas dasar simpati, dia segera ke bank untuk memasukkan wang RM2,500 ke akaun yang diberikan scammer,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun beliau berkata, tidak lama selepas transaksi pertama, individu tersebut sekali lagi meminta wang tambahan sebanyak RM1,500 dengan alasan jumlah diberikan masih tidak mencukupi.
Menurut Md Sani, bapa mentuanya yang berusia 76 tahun itu mula berasa curiga sebelum bertanyakan kepada anak-anak.
“Apabila kami memeriksa nombor telefon berkenaan menggunakan aplikasi pengenalan pemanggil, kami mendapati nombor itu mempunyai rekod berkaitan penipuan.
"Kami suruh ayah lapor polis dengan sertakan segala bukti, tapi dia tak mahu kerana tak nak panjang cerita," katanya.
Lebih menyedihkan ujar Md Sani, wang berkenaan merupakan hasil sedekah tetamu yang hadir ke majlis perkahwinan adik ipar.
Namun bapa kepada tiga anak itu berkata, pengalaman tersebut menjadi pengajaran besar buat ayah mentua termasuk ahli keluarga supaya lebih berhati-hati.
"Mujurlah kali kedua itu ayah tanya anak-anak dulu, kalau tidak tentu lebih banyak lagi wangnya ditipu.
"Sebenarnya kami anak-anak memang selalu pesan dengan ayah dan emak supaya jangan mudah percaya dengan taktik scammer ini dan mereka pun tahu kerana banyak maklumat di internet sekarang," katanya.
Namun jelas Md Sani, ketika berdepan situasi sebenar, mangsa terutama warga emas mungkin tidak sempat berfikir panjang apabila permintaan bantuan itu seolah-olah datang daripada individu yang dikenali atau rapat.
“Bukan semata-mata disebabkan warga emas mudah ditipu, tetapi sifat belas kasihan dan keinginan membantu orang lain boleh dimanipulasi oleh penjenayah,” ujarnya.
Md Sani berpandangan, penipuan berbentuk pelaburan pula menggunakan modus operandi berbeza dengan menawarkan keuntungan atau menggandakan wang dalam tempoh singkat.
"Mangsa kes penipuan ini biasanya warga emas yang latar belakang pekerjaannya agak baik seperti pesara guru atau pegawai kerajaan berjawatan.
"Mereka ini jadi sasaran sebab scammer tahu mereka ada duit. Tapi nasihat saya, rujuklah anak-anak atau ahli keluarga yang lebih memahami perkara itu supaya tidak menjadi mangsa penipuan,” ujarnya.

Rugi RM60,000 lepas tekan link
SHAH ALAM – Niat seorang lelaki berusia 70-an mencari khidmat membaiki mesin basuh bertukar malang apabila wang RM60,000 miliknya lesap selepas dipercayai terpedaya dengan pautan pembayaran palsu.
Kejadian itu hanya diketahui keluarga selepas menyedari perubahan sikap mangsa yang menjadi murung, pendiam dan beberapa kali menangis selepas menunaikan solat.
Salah seorang anak yang mahu dikenali sebagai Fatin Ezyka, 20-an, berkata, bapanya mencari perkhidmatan tersebut menerusi Facebook sebelum berhubung dengan individu terbabit melalui WhatsApp.
Katanya, individu berkenaan kemudian menghantar satu pautan bagi tujuan pembayaran dan menetapkan tarikh perkhidmatan.
“Saya sudah banyak kali ingatkan ayah supaya jangan tekan pautan mencurigakan, lebih-lebih lagi yang diperoleh melalui media sosial.
“Malangnya, ayah terpedaya dengan satu pautan yang mengiklankan perkhidmatan membaiki mesin basuh,” katanya.
Sejurus mengetahui kejadian tersebut, Fatin menghubungi pihak bank bagi meminta tindakan membekukan akaun bapa dan penerima yang dipercayai digunakan dalam penipuan tersebut.
Bagaimanapun, usaha menyekat transaksi melibatkan dua lagi akaun scammer tidak sempat dilakukan selepas wang berkenaan dikeluarkan.
“Kita kena selalu ingatkan ibu bapa supaya semak dahulu kesahihan sesuatu perkhidmatan yang diiklankan di media sosial,” ujarnya.
Kecewa ibu lebih percaya scammer
SHAH ALAM - Seorang wanita mendakwa ibunya yang juga warga emas berulang kali menjadi mangsa penipuan dalam talian sehingga mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit.
Wanita berusia 40-an yang mahu dikenali sebagai Seri mendedahkan, situasi menjadi semakin serius apabila nasihat ahli keluarga terutama anak-anak tidak diendahkan.
“Ibu lebih percaya dan hanya nak dengar cakap orang yang dia sendiri tak kenal di media sosial,” luahnya.
Menurut Seri, meskipun berkali-kali menasihati ibu supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran mencurigakan, namun keadaan itu tetap berulang hingga dia buntu mencari penyelesaian.
"Ibu memang duduk dengan saya atau adik (di bandar), kadang-kadang dia nak balik rumah sendiri di kampung. Tapi memang tak boleh nak bendung sebab telefon dekat tangan dia," katanya.
Lebih membimbangkan, ibunya juga didakwa sanggup meminjam wang daripada kenalan bagi memenuhi permintaan pihak berkenaan.
"Kalau kira duit dia yang kena scam selama ni mungkin sudah beribu, mungkin puluhan ribu.
"Kalau saya beritahu (mengenai scam), ibu tak percaya. Dia kongsi (cara) masuk (labur) RM100, tunggu giliran nanti dapat sejuta," katanya.
Seri menasihati orang ramai supaya sentiasa menyemak telefon mak ayah masing-masing bagi melindungi mereka daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
