Tiga minggu jadi 'penerbit’ untuk pancing mangsa

KOTA BHARU – Bukan terus meminta wang, sebaliknya mengambil masa hampir tiga minggu menerangkan selok-belok penerbitan buku bagi membina kepercayaan sebelum memperdaya seorang pesara guru yang juga penulis.
Mangsa, Azlan Setapa, 60, (bukan nama sebenar) berkata, individu terbabit menghubunginya dengan memperkenalkan diri sebagai wakil sebuah syarikat percetakan di Kuala Lumpur.
Katanya, sepanjang tempoh berkenaan, lelaki itu kerap berhubung melalui telefon dan WhatsApp sambil menerangkan proses menghasilkan buku secara terperinci.
“Jadi saya tidak syak apa-apa kerana dia nampak tahu dan arif mengenai penerbitan,” katanya kepada Sinar Harian.
Azlan memaklumkan, keyakinannya bertambah apabila individu berkenaan turut menyentuh perkara teknikal berkaitan penerbitan yang lazim diketahui mereka dalam industri tersebut.
“Perkara teknikal seperti itu bukan semua orang tahu.
“Sebab itu saya fikir dia memang orang dalam bidang yang sama dan tidak terfikir langsung saya sedang berurusan dengan scammer,” ujarnya.
Selepas bersetuju, Azlan membuat pindahan RM6,000 ke sebuah akaun bank persendirian.
Tiga hari kemudian, individu terbabit menghantar gambar sebuah bungkusan berwarna hitam yang didakwa mengandungi buku siap dicetak dengan nama serta alamat Azlan tertera padanya.
Gambar itu digunakan bagi meyakinkan mangsa bahawa buku sudah siap sebelum bayaran tambahan RM1,000 diminta kononnya bagi kos penghantaran dan urusan mengeluarkan buku dari kilang.
“Ketika itu saya mula rasa ada sesuatu tidak kena sebab pada awalnya dia kata semua kos dah termasuk dalam RM6,000.
“Saya minta dia poskan buku dahulu dan tawarkan bayaran apabila barang diterima, tetapi dia memberi alasan dokumen untuk mengeluarkan buku dari kilang perlu diselesaikan dahulu,” katanya.
Menurut Azlan, individu berkenaan terus mendesaknya membuat bayaran tambahan walaupun buku yang didakwa sudah siap tidak pernah diterima.
Keraguan itu menyebabkan Azlan menceritakan perkara tersebut kepada rakan-rakan sebelum mereka mengingatkannya bahawa dia berkemungkinan menjadi mangsa penipuan.
“Barulah saya sedar dan terus hentikan urusan. Saya tidak pindahkan lagi RM1,000 yang dia minta,” ujarnya.
Azlan menyekat nombor individu terbabit dan kini memilih untuk mengesahkan identiti pihak yang berurusan dengannya sebelum membuat sebarang bayaran.
Dia juga lebih mengutamakan pertemuan secara bersemuka bagi urusan penerbitan bagi memastikan pihak terbabit benar-benar wujud.

Status WhatsApp ayah bongkar taktik scammer
IPOH - Tindakan seorang warga emas memuat naik gambar kad pengenalannya di status WhatsApp menjadi petunjuk awal kepada ahli keluarga bahawa lelaki itu sedang diperdaya scammer.
Salah seorang anak yang mahu dikenali sebagai Amin, 32, berkata, perbuatan bapanya, Ismail, 73, (bukan nama sebenar) menimbulkan syak wasangka kerana sebelum ini tidak pernah guna status WhatsApp.
"Keadaan menjadi semakin mencurigakan apabila ayah dilihat duduk bersendirian, seolah-olah cuba menjauhkan diri daripada ahli keluarga dan kelihatan gelisah sambil memegang telefon bimbit," katanya.
Amin berkata, selepas didesak, warga emas itu mengaku menerima panggilan daripada individu yang mendakwa bapanya melakukan kesalahan berkongsi kandungan tidak wajar di Facebook.
Bagi mengelakkan tindakan diambil, Ismail diminta memberikan maklumat peribadi dengan alasan individu terbabit boleh membantu menyelesaikan masalah berkenaan.
"Bukan sahaja maklumat peribadi, ayah turut berkongsi pelbagai maklumat keluarga termasuk bilangan anak dan pekerjaan kami.
"Gambar kad pengenalan pun mereka minta. Cuma, ayah tersilap hantar dengan meletakkannya pada status WhatsApp.
"Jadi, kami mengambil keputusan menukar nombor telefon ayah sebagai langkah keselamatan bagi elak gangguan berulang," ujarnya.
Umpan mangsa guna nama pempengaruh, 'pegawai BNM'
KUALA TERENGGANU – Menggunakan nama pempengaruh terkenal sebagai umpan sebelum muncul pula individu menyamar sebagai pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) merupakan antara taktik berlapis bagi meyakinkan mangsa supaya terus membuat bayaran.
Taktik penipuan itu dikongsi seorang wanita orang kurang upaya (OKU) berusia 53 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Neza apabila kehilangan RM20,000 termasuk wang simpanan untuk rawatan susulan kanser ovari.
Neza berkata, kejadian bermula selepas dia melihat tawaran ‘bantuan rakyat’ menerusi TikTok ketika dalam keadaan terdesak memerlukan wang.
“Saya perlukan duit untuk beli lampin pakai buang, makanan dan keperluan lain,” katanya.
Menurut Neza, selepas berhubung melalui WhatsApp, individu berkenaan memaklumkan dia kononnya terpilih menerima wang bantuan sebelum diarahkan membuat bayaran sebagai cagaran atau kos pengurusan.
Sindiket itu kemudian meyakinkan mangsa dengan memaklumkan bahawa akan dihubungi oleh seorang wakil BNM bagi menguruskan pengagihan.
“Apabila ‘pegawai BNM’ itu hubungi saya, bermulalah bayaran demi bayaran yang diminta untuk membolehkan saya mendapatkan wang tersebut,” ujarnya.
Namun bantuan berupa wang yang dijanjikan itu tidak pernah diperoleh dan hanya menyedari ditipu selepas RM20,000 dipindahkan.
Neza yang sudah enam tahun mendirikan rumah tangga dan belum dikurniakan cahaya mata akibat faktor kesihatan itu mengakui masalah kewangan menyebabkan tawaran sedemikian mudah menarik perhatiannya.
“Golongan OKU sentiasa ada keperluan dan kadang-kadang berada dalam keadaan terdesak memerlukan wang,” katanya.
Kejadian tersebut turut memberi kesan terhadap emosinya selain memburukkan tekanan yang dihadapi akibat masalah kesihatan.
“Keadaan diri memang sudah susah, apabila berlaku perkara seperti ini, keadaan menjadi lebih berat,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
