'UMNO sakau bersama Pas, suci dengan Amanah?' - Ahmad Fadhli

Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mempersoalkan pendirian Parti Amanah Negara (Amanah) yang melabelkan UMNO sebagai parti 'asabiyah' dan 'sakau' ketika mengkritik kerjasama politik Pas dengan parti itu.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Amanah pernah membentuk kerajaan bersama UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022 meskipun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih berdepan perbicaraan 47 pertuduhan berkaitan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

"Jadi saya ingin bertanya, apakah ukuran sebenar yang digunakan oleh (Pengarah Komunikasi Amanah) Khalid Samad? Ketika Amanah menerima UMNO sebagai rakan kerajaan sewaktu presidennya masih dibicarakan, kerjasama itu dibolehkan atas nama kestabilan politik.

"Tetapi apabila Pas bekerjasama dengan UMNO selepas Ahmad Zahid memperoleh DNAA, tiba-tiba kerjasama tersebut dianggap bersama parti 'sakau'? Mengapa dua ukuran yang berbeza digunakan terhadap parti yang sama?" katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini Khalid ketika penggulungan Pidato Presiden sempena Konvensyen Nasional 2026 Amanah, Ahad lalu menegaskan, parti itu perlu membina naratif politik baharu bagi mencabar sokongan terhadap kerjasama UMNO dan Pas yang menggunakan sentimen perpaduan Melayu serta Islam.

Menurutnya, tindakan Pas untuk bersama dengan UMNO memang sukar dipertahankan kerana menyatakan UMNO sebagai parti asabiah.

Dalam pada itu Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut mempersoalkan pandangan Dr Rosli Yaakob yang didakwa mencadangkan Pas meninggalkan UMNO dan menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, pandangan berkenaan pada asalnya ditulis dalam perbualan WhatsApp dan sekiranya benar, perlu diperjelaskan sama ada ia merupakan perbualan tertutup atau kenyataan yang dimaksudkan untuk edaran umum.

"Dalam politik, kita sering berbual dan bertukar pandangan dengan pemimpin pelbagai parti, termasuk mereka yang berbeza pendirian.

Artikel Berkaitan:

"Ada perkara yang dibincangkan secara peribadi dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi parti," ujarnya.

Justeru beliau menuntut Khalid menjawab dan menjelaskan dua perkara berkenaan.

"Politik memerlukan prinsip yang konsisten dan kepercayaan yang dijaga, bukan ukuran berbeza mengikut siapa yang menjadi rakan politik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!