Monyet mabuk, tertidur dalam kedai selepas minum vodka

Rakaman menunjukkan monyet itu terus tidur di atas kotak minuman keras. Foto: Agensi
Rakaman menunjukkan monyet itu terus tidur di atas kotak minuman keras. Foto: Agensi
A
A
A

RANCHI – Gelagat seekor monyet yang menceroboh sebuah kedai arak sebelum meminum vodka sehingga mabuk dan tertidur di atas kotak minuman keras mencetuskan perhatian orang ramai di Ranchi, India.

Kejadian luar biasa itu berlaku di sebuah kedai arak di Ormanjhi Chowk, Ranchi, negeri Jharkhand, ketika beberapa pekerja berada di dalam premis berkenaan.

Menurut laporan NDTV, pekerja kedai pada mulanya cuba menghalau haiwan itu, malah menawarkan biskut untuk mengalih perhatiannya.

Bagaimanapun, usaha berkenaan tidak berhasil apabila monyet itu mengambil sebotol vodka, memecahkan penutupnya sebelum mula meminum minuman beralkohol tersebut.

Selepas menghabiskan kira-kira separuh botol, haiwan itu dilihat semakin lemah dan mengantuk sebelum berbaring di atas beberapa kotak minuman keras lalu tertidur.

Monyet berkenaan dilaporkan tidak sedarkan diri untuk tempoh agak lama sehingga mengundang kehairanan pekerja dan pelanggan yang berada di lokasi.

Beberapa individu yang menyaksikan kejadian itu merakam gelagat haiwan berkenaan menggunakan telefon bimbit sebelum video berkenaan tersebar di media sosial.

Rakaman menunjukkan monyet itu terus tidur di atas kotak minuman keras, manakala pekerja kedai meneruskan urusan jual beli seperti biasa tanpa mengganggunya.

Menurut pekerja kedai dan penduduk setempat, monyet berkenaan sebenarnya sudah beberapa kali dilihat di sekitar kawasan itu sejak beberapa hari sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Haiwan itu dipercayai gemar menjilat sisa minuman beralkohol yang tertinggal di dalam botol-botol arak yang dibuang.

Namun, kejadian kali ini lebih mengejutkan apabila monyet berkenaan memasuki kedai dan mengambil sendiri sebotol vodka sebelum meminumnya sehingga mabuk.

Insiden itu mencetuskan pelbagai reaksi pengguna media sosial yang terhibur dengan gelagat luar biasa haiwan berkenaan.

Bagaimanapun, kejadian itu turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memberikan minuman beralkohol kepada haiwan liar kerana kandungan alkohol boleh membahayakan kesihatan dan keselamatan haiwan.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!