Selepas AI, 'robot pembunuh' pula gugat keselamatan dunia

KEMAJUAN teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sektor ketenteraan kini semakin meresahkan masyarakat antarabangsa susulan perkembangan penggunaan senjata autonomi atau robot pembunuh (killer robots) yang mencetuskan kebimbangan terhadap aspek keselamatan dan kemanusiaan.
Robot pembunuh merujuk kepada sistem persenjataan autonomi yang dilengkapi teknologi untuk mengenal pasti, memilih dan menyerang sasaran berdasarkan maklumat yang diproses melalui sensor serta sistem komputer tanpa memerlukan campur tangan manusia pada setiap peringkat serangan.
Evolusi teknologi tersebut berpotensi mengubah landskap peperangan moden kerana sistem berkenaan mampu beroperasi dengan pantas dalam persekitaran yang kompleks.
Antara contoh yang sering dibincangkan ialah penggunaan dron Kargu-2 dalam konflik Libya pada 2020. Laporan Panel Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertarikh 8 Mac 2021 menyebut sistem tersebut sebagai antara senjata yang mempunyai keupayaan menyerang sasaran tanpa memerlukan sambungan data berterusan dengan pengendali.
Bagaimanapun, laporan itu tidak menjelaskan secara muktamad sama ada serangan berkenaan dilakukan sepenuhnya secara autonomi atau mengakibatkan kematian manusia.

Selain itu, konflik antara Moscow dan Kiev memperlihatkan peningkatan penggunaan dron dan kenderaan robotik yang dilengkapi teknologi AI.
Tentera Ukraine didakwa menggunakan sistem bantuan AI untuk mengenal pasti dan menjejaki sasaran musuh khususnya ketika gangguan isyarat elektronik menjejaskan hubungan antara dron dengan pengendalinya.
Teknologi itu membolehkan dron meneruskan penerbangan secara autonomi dalam keadaan tertentu walaupun keputusan serangan masih dikawal manusia.
Dalam perang ganas di Gaza pula, penggunaan teknologi AI untuk membantu mengenal pasti mangsa turut mencetuskan perdebatan antarabangsa.
Sistem seperti Habsora dan Lavender digunakan oleh tentera Israel bagi membantu proses mengenal pasti serta menentukan sasaran operasi.
Walaupun sistem tersebut tidak dikategorikan sebagai senjata autonomi yang melancarkan serangan secara sendiri, penggunaannya tetap mencetuskan kebimbangan terhadap ketepatan maklumat, tahap pengawasan manusia dan risiko keselamatan orang awam.
Keputusan tak jelas
Antara kebimbangan utama penggunaan senjata autonomi ialah kemungkinan berlakunya kesilapan dalam mengenal pasti sasaran. Sistem AI mungkin gagal membezakan pihak musuh dengan orang awam dalam situasi tertentu.
Selain itu, persoalan mengenai pihak yang perlu bertanggungjawab sekiranya berlaku serangan yang mengorbankan nyawa tidak berdosa turut menjadi cabaran kepada undang-undang antarabangsa.
Susulan ancaman yang kian meningkat, 128 negara yang menghadiri Konvensyen Senjata Konvensional Tertentu (CCW) di Geneva, Switzerland, pada akhir minggu lalu sepakat untuk meneruskan usaha merangka peraturan antarabangsa bagi mengawal penggunaan senjata autonomi.
Negara-negara terlibat bersetuju memperincikan cadangan peraturan tersebut dengan sasaran untuk menyelesaikan proses berkenaan menjelang 2028.

Gabungan Stop Killer Robots yang terdiri daripada 300 organisasi yang menentang pembangunan dan penggunaan senjata autonomi menyifatkan keputusan tersebut sebagai 'tidak cukup tegas' kerana gagal menyediakan hala tuju yang jelas ke arah penggubalan peraturan yang mengikat dari segi undang-undang. Keadaan itu turut dipengaruhi tentangan negara pengeluar senjata utama termasuk Amerika Syarikat, Rusia dan Israel terhadap usaha tersebut.
Ia, sekali gus menimbulkan tanda tanya, sejauh manakah dunia bersedia menghadapi realiti peperangan masa hadapan apabila keputusan yang menentukan hidup dan mati manusia berkemungkinan besar berada di tangan mesin, bukannya manusia sendiri?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

