Hanya Amanah boleh gagalkan BN, perlu bina naratif baharu - Khalid Samad

Khalid
Khalid
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) perlu membina naratif politik baharu bagi mencabar sokongan terhadap kerjasama UMNO dan Pas yang menggunakan sentimen perpaduan Melayu serta Islam.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, naratif perpaduan Melayu yang dibawa kedua-dua parti itu mudah mendapat sokongan masyarakat Melayu.

Menurutnya, keadaan itu antara faktor yang menyumbang kepada kadar pemindahan undi hampir 100 peratus berdasarkan kajian yang dilakukan.

"Orang kampung apabila nampak Pas dan UMNO bersatu, yang selama ini bertengkar antara satu sama lain, mereka pun sepenuhnya menyokong.

“Bagaimanapun alhamdulillah pada masa yang sama ada banyak kepincangan yang boleh kita dedahkan untuk dapatkan sokongan. Ini yang kita kena bangunkan ataupun hasilkan.

“Perlu ada satu naratif baharu yang boleh memecahbelahkan Pas. Tindakan untuk bersama dengan UMNO memang sukar untuk dipertahankan kerana selama ini mereka sendiri menyatakan bahawa UMNO itu parti asabiah,” katanya ketika penggulungan Pidato Presiden sempena hari kedua Konvensyen Nasional 2026 Amanah.

Khalid berkata, keputusan Pas menjalinkan kerjasama dengan UMNO turut menimbulkan persoalan mengenai konsistensi pendirian parti itu.

"Sejak bila UMNO berubah dan pindah perlembagaan? Pas tidak boleh nafikan mereka bersama dengan parti asabiah serta sakau,” ujarnya.

Beliau turut mengakui usaha mengubah pemikiran pengundi bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan masa dan komitmen berterusan.

Mengambil pengalaman Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, beliau berkata, kejatuhan Barisan Nasional (BN) ketika itu tidak berlaku dalam tempoh singkat, sebaliknya hasil usaha bertahun-tahun menerusi demonstrasi, forum dan penulisan golongan cendekiawan.

"Kita tidak jatuhkan Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) pada 2018 dengan mudah. Bertahun-tahun kita turun ke jalanan, buat forum dan tulisan cendekiawan untuk mengubah naratif BN sehingga kita mencatat sejarah buat kali pertama BN jatuh sebagai kerajaan Persekutuan.

"Jadi, istiqamah, tiada mana-mana pihak yang boleh gagalkan BN, hanya Amanah. Kalau ada naratif lain yang kita cakap seminggu orang boleh dengar, kemukakan.

“Jika negara kita berterusan dikuasai BN dan PN hancur dan binasa negara kita,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!