Wong Soon Koh keluar PDP, kekal sokong GPS dan Abang Johari

Wong Soon Koh
Wong Soon Koh
A
A
A

SIBU - Selepas hampir 35 tahun berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Datuk Seri Wong Soon Koh mengumumkan peletakan jawatannya daripada Parti Demokratik Progresif (PDP), namun menegaskan beliau kekal menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kepimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Soon Koh, 84, yang juga bekas Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Naib Presiden Kanan PDP berkata, beliau secara rasmi mengemukakan surat peletakan jawatannya semalam, sekali gus melepaskan semua jawatan dan pelantikan dalam parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Beliau turut mengesahkan cucunya, Sean Wong mengambil langkah sama dengan meninggalkan PDP serta melepaskan semua jawatan yang disandang, termasuk pelantikannya sebagai Ahli Majlis Perbandaran Sibu.

Soon Koh berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati hala tuju politik PDP ketika ini tidak lagi selaras dengan matlamat dan persefahaman asal yang mendorong beliau menyertai parti berkenaan susulan pembubaran PSB pada 2024.

"Matlamat asal saya menyertai PDP tidak tercapai. Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana ia mungkin menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pihak tertentu," katanya pada sidang media di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, beliau menegaskan peletakan jawatannya daripada PDP tidak bermakna beliau meninggalkan GPS atau menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Abang Johari.

Mengulas kemungkinan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, Soon Koh berkata, beliau bersedia memberi laluan kepada generasi muda untuk meneruskan perjuangan politik.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk memberikan sokongan penuh kepada sesiapa sahaja yang dipilih sebagai calon GPS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan pada PRN akan datang.

Ditanya mengenai kemungkinan menyertai parti politik lain, Soon Koh berkata, beliau belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.

Namun, sekiranya mengambil keputusan untuk menyertai parti lain, beliau berkata pilihannya hanya terhad kepada parti komponen GPS dan akan berbuat demikian sebagai ahli biasa tanpa berhasrat memegang sebarang jawatan kepimpinan.

Sementara itu, Soon Koh menjelaskan bahawa tiada sebarang perbincangan awal diadakan antara beliau dengan ADUN Engkilili, Dr Johnichal Rayong Ngipa, yang turut mengumumkan peletakan jawatannya daripada PDP secara berasingan pada Isnin. - Bernama

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!