Asabiah menjadi racun apabila pertahan kesalahan kelompok sendiri - Mat Sabu

Mohamad menyampaikan Pidato Presiden sempena Konvensyen Nasional 2026 Parti Amanah Negara di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada Sabtu.
Mohamad menyampaikan Pidato Presiden sempena Konvensyen Nasional 2026 Parti Amanah Negara di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Fahaman asabiah yang mempertahankan kelompok sendiri meskipun melakukan kesalahan ibarat racun yang merosakkan perpaduan apabila kepentingan kaum, agama dan kelompok diutamakan sehingga mengatasi kebenaran.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, nama bangsa dan agama sering digunakan untuk menuntut kesetiaan, sedangkan tindakan itu bertujuan menjaga kepentingan sendiri dan meraih kuasa politik sehingga kezaliman dilindungi serta amanah rakyat dikhianati.

Menurutnya, politik perlu berpaksi pada nilai dan prinsip, manakala pemimpin harus dinilai berdasarkan amanah, kemampuan serta khidmat yang diberikan kepada rakyat.

“Amanah mesti istiqamah menolak jalan ini. Kita tidak boleh menggadaikan prinsip untuk mendapatkan kuasa. Yang zalim mesti ditentang. Yang menyeleweng mesti dipertanggungjawabkan.

“Pendirian ini terpakai kepada semua, termasuk diri dan kepimpinan kita sendiri. Inilah komitmen Amanah teguh pada prinsip, adil dalam tindakan serta berani menolak kezaliman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Pidato Presiden sempena Konvensyen Nasional 2026 Parti Amanah Negara di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, parti berkenaan bakal menggerakkan usaha secara tersusun di semua peringkat parti bagi menolak fahaman asabiah menerusi kerjasama Biro Syariah, Biro Komunikasi dan Biro Pembangunan Sumber Manusia (PSM).

Jelasnya, kedua-dua biro tersebut bertanggungjawab menyusun penerangan mengenai konsep Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam atau Islam rahmatan lil alamin, termasuk menyediakan bahan yang mudah difahami serta disokong nas sahih.

“Tolak fahaman asabiah dan fahaman ekstremisme dalam agama. Seterusnya, PSM perlu mengenal pasti potensi serta kepakaran anggota di semua peringkat.

Artikel Berkaitan:

“Padankan bakat mereka dengan keperluan parti dan tuntutan zaman. Bersama Biro Syariah, anjurkan program pembinaan kefahaman di kalangan ahli-ahli Amanah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!