'Saya tidak tolak PRN, tapi ia pilihan terakhir' - Penganalisis

SHAH ALAM - Pelaksanaan semula Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan wajar menjadi 'jalan terakhir' apabila segala mekanisme pembentukan kerajaan melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) benar-benar tidak lagi dapat dilaksanakan, namun ia bukan jalan pintas untuk menyelesaikan pertikaian kepimpinan.
Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abd Muis berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan PRN, cuma ia bukannya penyelesaian automatik terhadap kemelut yang berlaku ketika ini.

Apabila diteliti kerangka perlembagaan Negeri Sembilan, Mujibu berpendapat bahawa terdapat ruang untuk Menteri Besarnya, Datuk Ismail Lasim memohon pembubaran DUN sekiranya beliau hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Bagaimanapun, menurutnya, permintaan tersebut tertakluk kepada pertimbangan dan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pula iaitu Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
"Ini bermakna pembubaran DUN bukan sesuatu yang boleh berlaku hanya kerana Menteri Besar kehilangan sokongan majoriti. Kuasa untuk memperkenan atau tidak memperkenankan pembubaran berada dalam ruang budi bicara perlembagaan Yang di-Pertuan Besar.
"Saya tidak menolak kemungkinan PRN, tetapi ia lebih kepada jalan atau pilihan terakhir dan bukannya penyelesaian automatik," katanya kepada Sinar Ahad.
Penganalisis politik itu turut memperincikan tiga kemungkinan yang boleh diperhalusi.
Pertama, jika Ismail gagal mendapat sokongan majoriti tetapi terdapat calon lain yang mampu membentuk kerajaan negeri, pertukaran Menteri Besar boleh dilakukan tanpa perlu mengadakan PRN sekali lagi.
Kedua, sekiranya tiada seorang pun ADUN yang dapat membuktikan sokongan majoriti, kebuntuan politik mungkin berterusan.
Dalam keadaan sedemikian, menurut Mujibu, pembubaran DUN dan pilihan raya negeri boleh menjadi salah satu mekanisme untuk mendapatkan mandat baharu daripada rakyat, namun ia tertakluk kepada proses perlembagaan.
Ketiga, seandainya majoriti Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (BN-PN) masih dapat disatukan melalui rundingan politik dan persetujuan mengenai kepimpinan baharu, kerajaan sedia ada boleh diteruskan tanpa perlu melalui pilihan raya semula.
"Apa yang jelas berdasarkan ketiga-tiga kemungkinan ini selain mengambil kira kedudukan kerusi BN-PN yang masih utuh dalam DUN, PRN semula bukan pilihan yang ada dan menjadi jaminan bahawa konflik politik akan selesai.
"Ia mungkin memberikan mandat baharu, tetapi tidak semestinya menyelesaikan persoalan hubungan antara institusi, parti dan kepimpinan yang menjadi sebahagian daripada punca kemelut sekarang," ujarnya.
Mengulas dari sudut pandang politik, kata Mujibu, PRN semula juga membawa implikasi kepada BN-PN kerana kedua-duanya masih perlu menilai semula hubungan kerjasama, pembahagian kerusi dan hala tuju politik masing-masing.
"Namun, rakyat yang sekali lagi terpaksa melalui proses pilihan raya sedangkan mandat diberikan dalam PRN lalu belum pun sampai ke penghujung penggal," jelasnya.
Atas dasar itu, beliau berpandangan bahawa semua pihak mesti menghormati proses perlembagaan dan institusi diraja selain memberi ruang kepada Yang di-Pertuan Besar untuk menjalankan tanggungjawab baginda.
"Di samping itu, UMNO dan BN perlu mencapai kesepakatan politik termasuk memastikan calon kepimpinan mendapat sokongan majoriti ADUN serta penerimaan rakan gabungan PN.
"Bukan itu sahaja, pemulihan pentadbiran negeri perlu disegerakan, khususnya penyusunan semula EXCO bagi memastikan agenda pembangunan serta Belanjawan Negeri Sembilan 2027 tidak terganggu.
"Kepentingan rakyat mesti mengatasi kepentingan politik masing-masing. Mandat pilihan raya datang bersama tanggungjawab untuk mentadbir, bukan sekadar membentuk kerajaan," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
