Remaja 16 tahun maut, lima cedera kereta terbabas langgar pokok

BATU PAHAT - Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut manakala lima lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar pokok berhampiran Surau Kampung Jalan Baru, Simpang 5, di sini, malam Jumaat.
Dalam kejadian itu, kereta jenis Proton Wira terbabit dilaporkan terbabas sebelum merempuh sebatang pokok.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Zulmazi Ariffin berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 10.16 malam.

Katanya, operasi menyelamat membabitkan 13 anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua unit EMRS.
“Kemalangan membabitkan dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan dua kanak-kanak lelaki.
“Seorang mangsa lelaki berusia 16 tahun, Putera Muhaimin Qudrat Mohd Noor Wandi, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Lima lagi mangsa dihantar ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), ambulans KKM dan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya dalam kenyataan.

Mangsa yang dihantar ke hospital ialah Puteri Nur Fairuza Balqis Mohd Noorwandi, 15; Nor Azlan Shaharudin, 27; Putera Khairunas Mohd Noor Wandi, 11; Putera Aidin Firdaus Mohd Noor Wandi, tiga; dan Rahmah A Rahim, 26.
Operasi ditamatkan pada jam 1.07 pagi selepas semua mangsa diserahkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

