Seorang lagi bekas anggota polis dakwa jadi mangsa kekerasan Shuhaily

KUALA LUMPUR – Seorang lagi bekas anggota polis mendakwa pernah menjadi mangsa kekerasan membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika pegawai kanan itu bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Hilir Perak, 11 tahun lalu.
Susulan itu, peguam yang mewakili bekas anggota tersebut, Kamal Hisham Jaafar memohon Peguam Negara meneliti dan mempertimbangkan semula laporan polis yang dibuat terhadap Mohd Shuhaily pada 19 November 2015.
Menurut kenyataan media daripada Tetuan Kamal Hisham & Associates pada Rabu, laporan berkenaan dibuat di Teluk Intan, Perak.
Bagaimanapun, Kamal Hisham mendakwa, tiada sebarang tindakan diambil terhadap Mohd Shuhaily berhubung laporan itu.
Beliau berkata, pengadu yang ketika itu masih berkhidmat sebagai anggota polis turut berdepan pelbagai cabaran dan kesukaran dalam perkhidmatan selepas membuat laporan tersebut.
Keadaan itu, katanya, berakhir dengan pemberhentian pengadu daripada perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Perkembangan terbaharu itu menyusul selepas Mohd Shuhaily didakwa di mahkamah pada 21 Oktober lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan berhubung dakwaan melakukan kekerasan terhadap dua anggota polis di kaunter J, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, antara jam 1.17 tengah hari hingga 1.35 tengah hari pada 28 September lalu.
Kamal Hisham berkata, pertuduhan itu memberi harapan kepada anak guamnya untuk mendapatkan keadilan, selain melihatnya sebagai manifestasi prinsip kesamarataan di sisi undang-undang tanpa diskriminasi.
Sehubungan itu, beliau bersama seorang lagi peguam, Muhammad Nor Tamrin telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Peguam Negara (AG) supaya laporan polis tersebut diteliti dan dipertimbangkan semula mengikut lunas undang-undang.
Peguam turut berharap, perkara itu diberi perhatian bagi memastikan prinsip kedaulatan undang-undang terus dipertahankan tanpa sebarang diskriminasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

