Lelaki tertua New Zealand meninggal dunia pada usia 108 tahun

Sir Lloyd Geering diiktiraf sebagai lelaki tertua di New Zealand pada 2025. Foto RNZ
Sir Lloyd Geering diiktiraf sebagai lelaki tertua di New Zealand pada 2025. Foto RNZ
A
A
A

WELLINGTON - Lelaki tertua di New Zealand, Sir Lloyd Geering meninggal dunia pada usia 108 tahun.

Keluarganya memaklumkan Sir Lloyd menghembuskan nafas terakhir pada pagi Khamis di Bob Scott Retirement Village, Lower Hutt, di sini.

Sir Lloyd, seorang ahli teologi merupakan penerima anugerah berprestij Order of New Zealand dan menerima gelaran kesatria pada 2009.

Beliau pernah mencetuskan kontroversi apabila dibicarakan atas tuduhan ajaran sesat oleh Gereja Presbyterian pada 1960-an selepas menafikan kepercayaan mengenai keabadian roh manusia dan kebangkitan fizikal Jesus.

“Sehingga waktu itu, saya menganggap gereja sebagai sebuah institusi yang agak suci dan berbeza daripada masyarakat manusia yang lain.

“Namun, pengalaman itu menyedarkan saya bahawa gereja juga tidak berbeza daripada mana-mana masyarakat manusia yang lain," katanya dalam satu temu bual lama pada 2018.

Gereja itu akhirnya menarik balik pertuduhan terhadapnya sebelum beliau menubuhkan bidang pengajian agama di Te Herenga Waka/Victoria University.

Sir Lloyd pernah berkahwin sebanyak tiga kali iaitu dengan Nancy McKenzie yang meninggal dunia pada 1949, Elaine Parker (2001) dan Shirley White (2021).

Beliau dikurniakan tiga cahaya mata, Jonathan yang meninggal dunia pada 2024, Judy dan Elizabeth.

Artikel Berkaitan:

Sir Lloyd dilahirkan di Rangiora pada penghujung Perang Dunia Pertama.

Beliau diiktiraf sebagai lelaki tertua di New Zealand pada 2025 susulan kematian Jim Easton, bekas tawanan perang.

Menurut keluarganya, Sir Lloyd dikenali dalam kalangan ahli keluarga, rakan dan rakan sekerja sebagai seorang yang berintegriti, mempunyai rasa humor, penyayang serta sentiasa mengutamakan kebaikan.

“Penulisan dan syarahan Lloyd ketika menjadi pengetua Knox College pada 60-an menandakan perubahan dalam cara ramai rakyat New Zealand memahami agama Kristian.

“Beliau berpendapat manusia tidak mempunyai roh yang kekal dan kebangkitan semula lebih sesuai difahami sebagai simbol harapan.

“Kehadirannya dalam kehidupan kami membawa kegembiraan dan kami amat bersyukur kerana berpeluang memilikinya untuk tempoh yang begitu lama," menurut keluarga.

Upacara pengebumian secara tertutup mengikut kaedah pengebumian semula jadi akan diadakan di tanah perkuburan Natural Burial, Mākara, Wellington.

Sementara itu, upacara memperingati mendiang secara terbuka akan dianjurkan di Gereja St Andrew dengan tarikhnya diumumkan kelak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!