Lampu hijau HPUSM kembali menyala selepas tujuh tahun

KOTA BHARU - Selepas tujuh tahun pekarangan pintu masuk Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) kembali diterangi cahaya hijau pada malam Khamis sebagai tanda penghormatan kepada seorang anak muda yang memilih untuk menghadiahkan 'kehidupan' kepada insan lain melalui pendermaan organ.
Penderma Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, dikatakan mengalami kecederaan otak serius selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.
HPUSM dalam satu kenyataan memaklumkan, pengesahan kematian otak telah dibuat oleh Pakar Anestesiologi dan Pakar Neurosurgeri mengikut protokol perubatan ditetapkan sebelum persetujuan penuh diperoleh daripada ahli keluarga arwah.
Susulan itu, proses pembedahan pendermaan organ dimulakan pada tengah malam Khamis.

Operasi berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama pasukan pakar perubatan HPUSM, Unit Perolehan Organ Hospital (UPOH), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Pusat Transplan Nasional (NTC).
Pihak pengurusan serta seluruh warga kerja HPUSM turut merakamkan ucapan takziah dan penghargaan kepada keluarga penderma atas keikhlasan serta keberanian membuat keputusan besar yang memberi peluang kepada pesakit lain untuk meneruskan kehidupan.
Menurut kenyataan itu, pengorbanan berkenaan bakal memberikan harapan dan sinar kehidupan baharu kepada pesakit yang sedang menunggu pemindahan organ di seluruh negara.
Pencahayaan lampu hijau itu juga merupakan inisiatif HPUSM bagi menyokong kempen kesedaran pendermaan organ kebangsaan selain memperingati jasa penderma organ yang disifatkan sebagai wira tidak didendang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

