Koloni warga asing di Kampung Baru Subang 'dikepung'

SHAH ALAM - Operasi besar-besaran menggempur koloni warga asing di Kampung Baru Subang, di sini, dilaksanakan pada Sabtu.
Op Mega yang bermula pada jam 3 petang itu digerakkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Pemeriksaan dijalankan ke atas 14 blok yang merangkumi pelbagai jenis premis termasuk rumah kedai, bengkel, dobi dan premis perniagaan lain.
Ketika operasi berlangsung, suasana yang pada awalnya tenang bertukar sedikit riuh apabila terdapat segelintir warga asing cuba melarikan diri bagi mengelakkan pemeriksaan.
Malah, ada antara mereka yang menyorok di dalam premis, selain segelintir pekerja asing yang berpura-pura menjadi pelanggan bagi mengelakkan ditahan. Namun, cubaan tersebut berjaya dikesan oleh pasukan penguat kuasa.

Pemangku Pengarah Imigresen Selangor, Mohmad Khusairi Kamarudin berkata, operasi yang dijalankan hasil risikan selama tiga minggu itu memeriksa seramai 345 individu.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penahanan 258 individu yang disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI), membabitkan 201 lelaki dan 57 wanita atas pelbagai kesalahan imigresen.
"Semakan dokumentasi mendapati tangkapan membabitkan 29 warga Indonesia, 99 warga Bangladesh, 12 warga India, 77 warga Myanmar, 34 warga Nepal, tiga warga Pakistan, tiga warga Thailand dan seorang warga Kemboja.
"Antara kesalahan yang dikesan ialah tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, melanggar syarat pas serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan," katanya.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan yang turut melibatkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan diteruskan dari semasa ke semasa.
Dalam pada itu, beliau berkata, JIM turut mengeluarkan Borang 29 iaitu saman kepada saksi terhadap seorang warga tempatan bagi membantu siasatan.
"Kesemua tahanan yang berusia antara 19 hingga 62 tahun dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
