Seludup dadah guna aset tentera: PKR Perak gesa semakan menyeluruh SOP

Ketua Penerangan PKR Perak, Azam.
Ketua Penerangan PKR Perak, Azam.
A
A
A

IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak menggesa kerajaan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan semakan menyeluruh terhadap prosedur operasi standard (SOP), kawalan akses serta mekanisme pemantauan dalaman susulan kes pengedaran dadah yang dipercayai mengeksploitasi kemudahan pengangkutan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ketua Penerangan PKR Perak, Azam Afandi berkata, siasatan terhadap kes berkenaan perlu dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan sebarang kelemahan sistem yang membuka ruang kepada kegiatan jenayah dikenal pasti dan diperbaiki.

Menurutnya, PKR Perak mengikuti perkembangan kes itu dengan rasa kecewa dan dukacita serta mengecam perbuatan yang boleh mencemarkan imej dan integriti institusi negara.

"Jika benar terdapat individu yang menyalahgunakan kedudukan, akses atau kemudahan negara bagi membantu kegiatan jenayah, perbuatan tersebut merupakan satu pengkhianatan besar terhadap amanah rakyat, institusi dan negara.

"Kami menyokong tindakan kerajaan dan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh tanpa kompromi. Siasatan ini tidak boleh berhenti hanya kepada individu yang telah ditahan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan perlu diperluaskan bagi mengenal pasti bagaimana sistem boleh dieksploitasi, tempoh kegiatan itu berlangsung, pihak yang membiayai serta individu yang mendapat keuntungan daripada rangkaian berkenaan.

Azam turut menegaskan pihak berkuasa perlu mengenal pasti dalang sebenar yang berada di belakang kegiatan itu dan memastikan mana-mana pihak yang terlibat dikenakan tindakan undang-undang tanpa mengira pangkat, kedudukan atau hubungan.

Dalam pada itu, PKR Perak turut merakamkan penghargaan kepada anggota TUDM yang mengesan perkara mencurigakan serta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan pantas dan profesional dalam membongkar kes berkenaan.

Katanya, semakan SOP perlu merangkumi aspek kawalan akses, pemeriksaan bagasi dan kargo serta mekanisme pemantauan dalaman bagi mengelakkan kemudahan ketenteraan dieksploitasi untuk kegiatan jenayah pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

"Jangan biarkan kelemahan seperti ini berulang kerana dadah bukan sekadar satu kesalahan undang-undang, malah menghancurkan anak muda, keluarga dan masa depan negara.

"Lebih menyedihkan apabila kemudahan yang sepatutnya digunakan untuk mempertahankan negara dieksploitasi bagi kegiatan yang merosakkan rakyat," katanya.

Beliau menegaskan tiada pihak harus dilindungi sekiranya terbabit dalam kegiatan jenayah yang mengkhianati amanah negara, sebaliknya semua pihak perlu dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mendedahkan pegawai TUDM termasuk juruterbang terbabit dalam kes penyeludupan dadah membabitkan jumlah yang besar.

Beliau berkata, kes berkenaan amat membimbangkan, sekali gus memberi amaran tindakan tegas mesti diambil terhadap mereka yang terbabit tanpa mengira pangkat.

Susulan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata lima pegawai TUDM antara 11 suspek ditahan di Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terbabit pengedaran 96.64 kilogram (kg) dadah dengan menggunakan aset TUDM, baru-baru ini.

Katanya, 11 individu termasuk enam orang awam itu diberkas susulan penemuan dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM4.83 juta.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!