Usahawan alumni UiTM disaran sertai UIBC, perkasa perniagaan Bumiputera

KUALA LUMPUR - Semua usahawan alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) sama ada kecil atau besar disaran untuk menyertai UiTM Business Club (UIBC) bagi memajukan perusahaan dan meningkatkan jaringan perniagaan.
Presiden Persatuan Alumni Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FBM) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datuk Rosthman Ibrahim berkata, UIBC bakal menjadi wadah perjuangan untuk membantu dan mengembangkan perniagaan Bumiputera yang 'genuine', terutamanya peniaga atau usahawan yang berasal daripada graduan UiTM tidak kira dari fakulti atau pengajian mana.
Menurutnya, ia terbuka kepada semua graduan UiTM yang berniaga.

"Kita juga perlu jujur kaum Bumiputera mewakili lebih 70 peratus dari rakyat Malaysia, namun sumbangan syarikat Bumiputera kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara masih berada di sekitar lapan peratus sahaja.
"Kerajaan telah menetapkan sasaran sebanyak 15 peratus menjelang tahun 2035 melalui Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 atau PUTERA35. Bagaimanapun, sasaran ini tidak akan tercapai jika kita sekadar menjadi pengguna.
"Kita mesti menjadi pemilik perniagaan.Jadi, disinilah timbulnya idea untuk melahirkan UIBC," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Alumni FBM UiTM Sambutan Ulang Tahun Ke-70-Legacy in Motion dan pelancaran UIBC yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini pada Sabtu.

Majlis itu turut dihadiri Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Idris Jusoh dan Sinar Harian merupakan rakan media rasmi.
Mengulas lanjut Rosthman berkata, fungsi utama UIBC mudah tetapi besar maknannya iaitu menyatukan empat pihak yang selama ini bergerak bersendirian.
"Menerusi UIBC juga, kita bina jaringan perniagaan yang kukuh. Peniaga kita akan mendapat akses kepada laporan perniagaan dan penyelidikan oleh pakar akademik, sesuatu yang amat diperlukan oleh komuniti bisnes tetapi selama ini sukar dicapai.
"Usahawan alumni yang ingin mengembangkan perniagaannya boleh bertemu pensyarah yang penyelidik industrinya, institusi yang boleh membiayainya dan rakan alumni yang boleh menjadi pelanggan atau rakan kongsinya serta tenaga kerja mampan dari lebih 50,000 graduan UiTM setiap tahun," jelasnya.

Sementara itu, pengasas dan Pegawai Eksekutif (CEO) Smartfix Pro Centre, Muhammad Zulfadhli Taha memberitahu, penglibatannya sebagai penaja dalam majlis makan malam itu didorong rasa tanggungjawab untuk menyumbang semula kepada universiti yang pernah menjadi tempat menimba ilmu.
Menurutnya, UiTM mempunyai peranan besar dalam melahirkan ramai graduan dan individu cemerlang.

Jelas beliau, justeru hubungan antara alumni dengan institusi berkenaan perlu terus diperkukuh.
"Usaha menghimpunkan lebih ramai alumni bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan, malah membuka ruang untuk mereka berkongsi pengalaman, kepakaran dan membantu pembangunan universiti.
"Ketika menjadi pelajar dahulu, saya datang ke UiTM untuk mencari ilmu. Kini, apabila kembali sebagai alumni, saya merasakan sudah tiba masanya untuk menyumbang semula kepada institusi yang banyak berjasa kepada saya.
"Saya berharap dapat terus mengingati tempat yang pernah memberikan ilmu dan membentuk diri saya sehingga ke tahap hari ini," katanya.

Tambah beliau, penganjuran UIBC juga menjadi platform penting untuk menghimpunkan lebih ramai alumni, khususnya dalam kalangan usahawan.
"Kita mahu mengumpulkan lebih ramai lagi alumni dan usahawan-usahawan di agar dapat sama-sama membantu," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

