Pasangan kembar raih anugerah graduan terbaik UiTM 2026

Puteri Sofea Nabeeha (kanan) bersama Puteri Sofea Nabeela (kiri) bergambar pada Majlis Istiadat Konvokesyen UiTM ke-105. - Foto Bernama.
Puteri Sofea Nabeeha (kanan) bersama Puteri Sofea Nabeela (kiri) bergambar pada Majlis Istiadat Konvokesyen UiTM ke-105. - Foto Bernama.
A
A
A

SHAH ALAM - Pasangan kembar berusia 24 tahun tidak menyangka perjalanan pengajian mereka berakhir dengan pencapaian membanggakan apabila menerima Anugerah Graduan Terbaik UiTM 2026 pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-105 hari ini.

Lebih manis, Puteri Sofea Nabeela Haris dan Puteri Sofea Nabeeha, graduan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) menerima anugerah itu yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang juga Canselor UiTM.

Kedua-duanya yang mengikuti pengajian Sarjana Muda Statistik menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil usaha berterusan selain doa dan sokongan ibu bapa serta bantuan pensyarah, rakan-rakan dan pihak universiti.

Pasangan kembar tidak seiras itu berkata peluang menempuh perjalanan akademik bersama-sama merupakan satu keistimewaan, lebih-lebih lagi apabila mereka dapat meraikan kejayaan tertinggi masing-masing pada majlis konvokesyen yang sama.

Puteri Sofea Nabeela berkata mereka menjadikan sesi belajar bersama-sama dan pertukaran idea sebagai antara strategi untuk memahami subjek, menyiapkan tugasan serta membuat persediaan menghadapi ujian.

Mereka turut berusaha mengekalkan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.7 ke atas pada setiap semester sejak di peringkat diploma.

“Apabila berdepan topik sukar, kami memang akan mendapatkan bantuan pensyarah,” katanya kepada Bernama selepas menerima anugerah itu di Dewan Agung Tuanku Canselor di UiTM di sini hari ini.

Di sebalik komitmen akademik, Puteri Sofea Nabeela berkata mereka turut aktif dalam kelab fakulti dan aktiviti peringkat universiti, termasuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR), kesukarelawanan serta penganjuran program yang memberi manfaat kepada komuniti.

Ditanya sama ada ingin melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana, pasangan kembar itu berkata buat masa ini, mereka mahu memberi tumpuan dan menyesuaikan diri kepada kerjaya masing-masing terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Puteri Sofea Nabeela yang juga anak ketiga daripada lima beradik sedang berkhidmat di sebuah firma audit ternama dalam negara di dalam bidang automasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengurangkan proses manual.

Puteri Sofea Nabeeha pula menyertai sebuah syarikat teknologi sebagai jurutera perisian dan terlibat dalam projek yang menggunakan penyelesaian teknologi AI.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke istiadat konvokesyen itu dan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Datuk Dr Roziah Mohd Janor yang merupakan bekas Naib Canselor wanita pertama UiTM serta mengurniakan Anugerah Graduan Terbaik UiTM 2026 kepada 15 graduan terbaik universiti itu.

Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, yang juga Pro-Canselor UiTM.

Istiadat konvokesyen itu yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin menyaksikan sebanyak 32,630 graduan akan menerima diploma serta ijazah dalam pelbagai bidang bermula hari ini hingga 16 Disember ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!