Persatuan Alumni FBM UiTM tubuh UIBC, perkukuh ekosistem keusahawanan

SHAH ALAM - Persatuan Alumni Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FBM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) bakal menubuhkan UiTM Business Club (UIBC) bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan alumni menerusi jaringan perniagaan, penyelidikan pasaran dan peluang pekerjaan.
Presidennya, Datuk Rosthman Ibrahim berkata, UIBC akan menghimpunkan alumni UiTM yang berkecimpung dalam bidang perniagaan tanpa mengira fakulti pengajian bagi membuka ruang kerjasama dan perkongsian kepakaran.
Menurutnya, kelab itu turut berperanan menyediakan maklumat dan laporan penyelidikan pasaran bagi membantu usahawan mengenal pasti potensi perniagaan serta merancang strategi mengembangkan pasaran.
“Melalui UIBC, kita mahu menghimpunkan alumni UiTM yang mempunyai perniagaan supaya mereka dapat membina jaringan, berkongsi idea dan meneroka peluang kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada perniagaan masing-masing.
"Melalui penyelidikan pasaran, kita boleh membantu usahawan mengetahui saiz pasaran sebenar bagi sesuatu produk atau perkhidmatan supaya mereka dapat merancang strategi dan mengembangkan perniagaan dengan lebih berkesan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Hotel Royale Chulan Damansara.
Rosthman memberitahu, UIBC turut dirancang berperanan sebagai pusat penyelidikan yang memanfaatkan kepakaran UiTM bagi menyediakan maklumat pasaran kepada usahawan, khususnya bumiputera dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdepan kekangan mendapatkan data untuk membuat keputusan perniagaan.
Beliau berkata, keahlian kelab itu tertakluk kepada proses pendaftaran dan pengesahan maklumat perniagaan termasuk semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Selain itu, kongsinya, UIBC berhasrat membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan menerusi penyelidikan berkaitan gaji permulaan dan peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan mereka.

Menurutnya, jaringan usahawan yang dibangunkan turut membuka peluang kepada ahli perniagaan mengambil graduan UiTM, selain menggalakkan pelajar meneruskan perniagaan yang dimulakan ketika masih menuntut.
Rosthman berkata, kelab itu juga berpotensi membantu pelajar dan graduan meneroka perniagaan berasaskan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), selaras dengan perkembangan ekonomi semasa.
Penubuhan UIBC dijadualkan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-70 FBM UiTM di Royale Chulan Kuala Lumpur pada 21 November depan.
Majlis berkenaan dijangka menghimpunkan kira-kira 650 tetamu dan menjadi platform mengeratkan hubungan dalam kalangan alumni, selain memperkukuh sokongan terhadap pembangunan ekosistem keusahawanan UiTM.
Rosthman berkata, FBM UiTM mempunyai kira-kira 300,000 alumni dan majlis terbabit diharap dapat mengeratkan hubungan mereka serta menyokong usaha membangunkan UIBC.
Pihak penganjur menyasarkan kutipan kira-kira RM450,000 menerusi penjualan meja pada harga bermula RM3,500, manakala pakej penajaan utama ditawarkan pada harga RM30,000.
Majlis itu turut dimeriahkan dengan persembahan Datuk Awie yang diiringi pemuzik daripada Fakulti Muzik UiTM.
Alumni yang berminat boleh membuat tempahan tempat duduk menerusi laman web rasmi fbmuitmalumni.com.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

