Jumlah rakyat Malaysia di Singapura pulang meningkat

Vidyananthan
Vidyananthan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Trend kemasukan rakyat Malaysia dari Singapura menunjukkan peningkatan ketara sejak kelmarin di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar dan di CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, sebelum ini purata kemasukan hanya 300 sehari kini meningkat melebihi 800 orang di kedua-dua pintu masuk darat tersebut.

"Bilangan yang ramai menjadikan waktu menunggu lebih lama untuk agensi terlibat melakukan saringan dan penempatan di pusat kuarantin.

"Semalam Johor sudah mula menggunakan pusat kuarantin di luar daerah Johor Bahru dan Kulai iaitu di Kota Tinggi dan Batu Pahat bagi menempatkan mereka yang pulang dari Singapura," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) semalam menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu berhubung pengurusan kemasukan di kedua-dua pintu masuk itu dengan tidak lagi kuarantin di rumah bagi mereka yang mempunyai surat ujian negatif koronavirus (Covid-19) dari republik itu.

Rakyat Malaysia di Singapura yang kembali dari republik itu akan dihantar terus ke stesen kuarantin yang diwartakan kerajaan.

Vidyananthan turut menasihatkan rakyat Malaysia di Singapura merancang waktu untuk balik ke negara ini supaya dapat mengelakkan menunggu lebih lama daripada biasa selain melakukan persiapan awal sewajarnya.

Menurutnya, kerajaan negeri mengikuti perkembangan kes Covid-19 di negara jiran itu berikutan jumlah keseluruhan kes kumulatif positif di Singapura kini sebanyak 12,075 kes.

Artikel Berkaitan:

Katanya, laporan harian stesen kuarantin yang diterima menerusi Pusat Kawalan Bencana (PKOB) negeri mendapati, sehingga jam 10 malam tadi seramai 5,816 individu ditempatkan di 46 stesen kuarantin yang sudah diaktifkan di negeri ini.

Beliau menjelaskan, jumlah terbabit melibatkan 5,732 orang awam termasuk warga Malaysia yang bekerja di Singapura, 65 pelajar yang pulang ke Malaysia dan 19 jemaah tabligh.

Daripada jumlah keseluruhan terbabit katanya, seramai 5,788 individu dikategorikan sebagai Individu Dalam Pemerhatian (PUS) manakala 28 yang lain dikategorikan sebagai Individu Dalam Siasatan (PUI).