Harga minyak mentah Brent catat paras tertinggi sejak Jun 2022

Penanda aras antarabangsa Brent meningkat 2.7 peratus atau AS$3.06 kepada AS$116.20 setong setakat 1350 GMT, melepasi paras tertinggi yang dicatatkan pada awal peperangan. Foto Anadolu Ajansi
Penanda aras antarabangsa Brent meningkat 2.7 peratus atau AS$3.06 kepada AS$116.20 setong setakat 1350 GMT, melepasi paras tertinggi yang dicatatkan pada awal peperangan. Foto Anadolu Ajansi
A
A
A

ISTANBUL - Harga minyak meningkat pada Jumaat berikutan kebimbangan terhadap kemungkinan serangan baharu Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran serta peningkatan ketegangan serantau yang mencetuskan kebimbangan mengenai bekalan, sekali gus melonjakkan harga minyak mentah Brent ke paras tertinggi sejak Jun 2022, lapor Anadolu Ajansi.

Penanda aras antarabangsa Brent meningkat 2.7 peratus atau AS$3.06 kepada AS$116.20 setong setakat 1350 GMT, melepasi paras tertinggi yang dicatatkan pada awal peperangan.

Penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI), pula meningkat 3.04 peratus atau AS$3.02 kepada AS$102.50 setong, paras tertinggi dalam tempoh lima minggu.

Harga Brent meningkat kira-kira lima peratus minggu ini manakala WTI naik sekitar tiga peratus, meletakkan kedua-dua penanda aras itu pada landasan untuk mencatat kenaikan mingguan bagi minggu ketiga berturut-turut.

Kenaikan harga itu berlaku apabila jangkaan semakin meningkat bahawa Washington mungkin menyambung semula serangan terhadap Iran dalam beberapa minggu akan datang.

Presiden Donald Trump berkata pada Khamis, AS mungkin melancarkan serangan lanjut terhadap Iran.

Ketegangan serantau turut meningkat apabila Kumpulan Houthi di Yemen meneruskan serangan terhadap Arab Saudi, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap risiko kepada infrastruktur tenaga.

Jabatan Negara AS mengarahkan kakitangan bukan penting meninggalkan Arab Saudi.

Perang antara AS-Israel dengan Iran bermula pada penghujung Februari dan masih belum tamat walaupun gencatan senjata serta memorandum bagi perjanjian damai muktamad dicapai, terutamanya disebabkan perbezaan pendirian berhubung pelayaran di Selat Hormuz. - Bernama-Anadolu

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!