Polis terima laporan isu surat peletakan jawatan MB Negeri Sembilan

Polis mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan surat peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan diserahkan kepada pihak Istana tanpa persetujuan pada Sabtu. Foto hiasan
Polis mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan surat peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan diserahkan kepada pihak Istana tanpa persetujuan pada Sabtu. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan surat peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan diserahkan kepada pihak Istana tanpa persetujuan pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, laporan berkenaan dibuat seorang pesara lelaki berusia 65 tahun di Balai Polis Chow Kit, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira jam 9.55 pagi.

Beliau berkata, pengadu memohon supaya siasatan dijalankan berhubung dakwaan tersebut berdasarkan laporan media dan kenyataan yang dirujuknya.

Menurutnya, pengadu turut meminta pihak polis meneliti kemungkinan wujud kaitan isu berkenaan dengan dakwaan konspirasi terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

"Bagaimanapun, pengadu mengakui belum mempunyai bukti langsung yang mengesahkan dakwaan konspirasi terhadap kedudukan Baginda atau penglibatan pihak sama dalam kedua-dua isu berkenaan.

"Kandungan laporan itu merupakan permohonan supaya siasatan dijalankan berdasarkan syak wasangka pengadu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur) menggesa polis menjalankan siasatan dakwaan wujud konspirasi menjatuhkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, serta kemungkinan pakatan terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Setiausaha Agung SekPur, Mejar (B) Razali Zakaria berkata, laporan polis dibuat berdasarkan beberapa laporan media dan kenyataan individu tertentu yang menimbulkan persoalan mengenai pihak yang menyediakan, mengarahkan serta menyerahkan surat peletakan jawatan berkenaan kepada pihak istana.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!