[VIDEO] SekPur gesa siasat dakwaan konspirasi jatuhkan Tuanku Muhriz, MB Negeri Sembilan
KUALA LUMPUR - Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur) menggesa polis menjalankan siasatan dakwaan wujud konspirasi menjatuhkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, serta kemungkinan pakatan terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Setiausaha Agung SekPur, Mejar (B) Razali Zakaria berkata, laporan polis itu dibuat berdasarkan beberapa laporan media dan kenyataan individu tertentu yang menimbulkan persoalan mengenai pihak yang menyediakan, mengarahkan serta menyerahkan surat peletakan jawatan berkenaan kepada pihak istana.
Beliau berkata, antara perkara yang dirujuk ialah kenyataan Ismail yang dilaporkan tidak pernah memberikan persetujuan supaya surat peletakan jawatannya diserahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

"Percanggahan maklumat yang dilaporkan ini menimbulkan persoalan mengenai pihak yang menyediakan, mengarahkan dan menyerahkan surat peletakan jawatan tersebut.
"Kita mahu polis menyiasat siapa yang merancang, menyediakan dan menyerahkan surat berkenaan serta sama ada wujud unsur pakatan jahat, pemalsuan dokumen, penipuan atau penyalahgunaan kuasa," katanya ketika sidang media selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi pada Sabtu.
Media sebelum ini melaporkan Ismail berkata Tuanku Muhriz telah menitahkan beliau untuk terus menjalankan tugasnya, bagi memastikan kelangsungan dalam pentadbiran negeri.
Beliau juga menjelaskan bahawa beliau tidak menyerahkan mahupun mengizinkan penyerahan surat peletakan jawatan tersebut kepada Tuanku Muhriz, sambil menyatakan bahawa surat itu telah disimpan oleh kepimpinan partinya.
Terdahulu, kontroversi mengenai kedudukan Ismail timbul apabila Zambry dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi BN, mengumumkan bahawa Menteri Besar itu telah meletak jawatan.
Pada hari Selasa, pihak istana menjelaskan bahawa peletakan jawatan seseorang Menteri Besar hanya akan berkuat kuasa dengan perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan Perlembagaan Negeri.
Dalam pada itu, Razali berkata, pihaknya turut meminta polis menyiasat kemungkinan wujud kaitan antara individu atau kumpulan yang terlibat dalam isu surat peletakan jawatan Menteri Besar dengan sebarang usaha untuk menggulingkan atau menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Justeru, katanya, polis diminta meneliti segala maklumat, dokumen, komunikasi serta keterangan pihak berkaitan bagi menentukan sama ada terdapat unsur jenayah dalam kedua-dua perkara berkenaan.
Beliau turut mencadangkan polis mengambil keterangan beberapa individu termasuk Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zamri Abdul Kadir, Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta wakil firma guaman yang didakwa menghantar surat berkenaan.
Mengulas lanjut, Razali berkata, kemelut politik di Negeri Sembilan yang berlarutan lebih tiga bulan itu perlu diselesaikan segera bagi memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri.
Katanya, keadaan berkenaan turut menimbulkan persoalan mengenai perancangan dasar menjelang 2027, termasuk penyediaan bajet dan pelantikan jawatankuasa berkaitan yang didakwa masih belum dilaksanakan secara menyeluruh.
"Kita sebagai NGO berharap isu di Negeri Sembilan ini dapat diselesaikan segera kerana sudah lebih tiga bulan rakyat dijanjikan dengan keamanan dan kestabilan politik.
"Yang penting, institusi raja, perlembagaan, adat Negeri Sembilan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan mesti diutamakan," katanya.
Beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah dengan pelantikan mana-mana individu sebagai Menteri Besar, namun proses berkenaan perlu mematuhi peruntukan undang-undang dan adat negeri.
Jelasnya, sebarang keputusan berkaitan kedudukan Menteri Besar juga perlu mengambil kira proses yang diperkenankan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
"Kita tidak mempertikaikan siapa yang mahu dipilih sebagai Menteri Besar, tetapi jangan sampai melanggar adat, perlembagaan dan undang-undang tubuh kerajaan negeri.
"Kita berharap kemelut ini dapat diselesaikan segera supaya pentadbiran Negeri Sembilan dapat berjalan dengan lancar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

