Nvidia tolak kempen mahu Jensen Huang kembali jadi CEO

SAN FRANCISCO - Nvidia tidak mempertimbangkan untuk melantik semula pengasasnya, Jensen Huang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu meskipun kempen mendesak kepulangannya semakin mendapat sokongan dalam kalangan tokoh teknologi dan pekerja syarikat berkenaan.
Menurut laporan rangkaian media pada Isnin, Lembaga Pengarah (BoD) Nvidia tidak membincangkan kemungkinan Huang kembali menerajui syarikat pengeluar cip kecerdasan buatan (AI) terbesar dunia itu.
Kempen menggesa pelantikan semula Huang semakin mendapat perhatian apabila lebih 180,200 individu menandatangani petisyen itu termasuk beberapa tokoh industri teknologi seperti CEO Tesla, Elon Musk.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump turut menyatakan beliau tidak membantah sekiranya Huang kembali memegang jawatan malah menyokong penuh keputusan itu.
Bagaimanapun, sokongan itu belum mengubah pendirian BoD yang kini memberi tumpuan kepada siasatan dalaman berhubung kontroversi yang membawa kepada peletakan jawatan Huang pada Khamis lalu.
Huang meletakkan jawatan sebagai Presiden, CEO dan ahli lembaga pengarah Nvidia selepas timbul laporan mengenai hubungan sulitnya dengan tiga wanita termasuk staf firma terkemuka itu.
Kontroversi berkenaan turut dikaitkan dengan dakwaan hubungan rapatnya dengan seorang ahli perniagaan wanita, Alice Huang yang disyaki mempunyai kaitan dengan risikan China, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kemungkinan risiko keselamatan dan pemindahan teknologi cip AI ke negara itu.
Bagaimanapun, dakwaan berkaitan kegiatan risikan berkenaan masih dalam siasatan dan belum dibuktikan.
Huang menerajui Nvidia selama lebih tiga dekad dan memainkan peranan penting dalam menjadikan syarikat itu antara pemain utama industri cip AI global. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

