Aksi kejar singa beramai-ramai undang kecaman

GUJARAT - Tular video memaparkan seekor singa dikejar oleh beberapa kakitangan Jabatan Perhutanan yang menaiki motosikal dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Taman Safari Ambardi, Gujarat, India.
Klip berdurasi pendek itu menunjukkan tiga kakitangan Jabatan Perhutanan mengekori singa berkenaan dengan motosikal manakala sebuah SUV jenis Bolero turut dilihat mengikuti haiwan tersebut.
Rakaman itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pencinta hidupan liar yang mempersoalkan tindakan kakitangan berkenaan mengejar singa tersebut.
Insiden itu turut menimbulkan persoalan mengenai prosedur operasi kakitangan taman safari, lebih-lebih lagi apabila kenderaan persendirian tidak dibenarkan memasuki kawasan berkenaan. Bagaimanapun, Jabatan Perhutanan tampil memberikan penjelasan susulan kecaman yang meluas.
Penolong Konservator Hutan Jabatan Perhutanan Gir Timur, Amit Vaniya berkata, kakitangan terbabit bukan bertujuan mengganggu atau menganiaya singa berkenaan sebaliknya cuba mengarahkannya kembali ke kawasan kurungan khas yang dikenali sebagai 'kraal'.
Menurutnya, Taman Safari Ambardi menerima jumlah pengunjung yang tinggi sepanjang cuti perayaan Diwali.
Selepas sesi lawatan safari berakhir pada waktu petang, kesemua singa sepatutnya kembali ke kawasan kurungan masing-masing. Namun, seekor daripada haiwan itu dilaporkan bergerak ke arah lain dan tidak menuju ke kawasan yang ditetapkan.
Jabatan Perhutanan menegaskan tindakan staf berkenaan adalah sebahagian daripada tugas mereka bagi memastikan haiwan tersebut kembali ke 'kraal' masing-masing.
Bagaimanapun, jabatan itu telah mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada kakitangan yang terlibat bagi mendapatkan penjelasan berhubung tindakan mereka sebagai sebahagian daripada siasatan lanjut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

