Megaspeed sahkan Alice Huang tinggalkan syarikat pada 2025, siasat isu Nvidia

Alice (berbaju merah jambu) yang dikaitkan dengan syarikat pusat data Megaspeed, menghadiri majlis makan malam anjuran Ketua Pegawai Eksekutif merangkap pengasas bersama Nvidia, Jensen Huang di sebuah restoran di Taipei pada 22 Mei 2025. Foto AFP
Alice (berbaju merah jambu) yang dikaitkan dengan syarikat pusat data Megaspeed, menghadiri majlis makan malam anjuran Ketua Pegawai Eksekutif merangkap pengasas bersama Nvidia, Jensen Huang di sebuah restoran di Taipei pada 22 Mei 2025. Foto AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat pengkomputeran awan yang berpangkalan di Singapura, Megaspeed International, pada Ahad memaklumkan bahawa ahli perniagaan China, Alice Huang, yang hubungannya dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia Jensen Huang mencetuskan kebimbangan keselamatan negara Amerika Syarikat (AS), telah meninggalkan syarikat itu tahun lepas, lapor The Associated Press (AP).

Megaspeed, yang kini menjadi tumpuan berhubung dakwaan pemindahan cip canggih Nvidia kepada syarikat China, turut mengumumkan siasatan dalaman yang dikendalikan oleh peguam luar.

Syarikat itu memberitahu AP bahawa pihaknya menjalankan "perniagaan yang sah di sisi undang-undang” dan maklum mengenai laporan media yang mengandungi dakwaan berkaitan perniagaan, rantaian bekalan serta operasi globalnya yang "tidak disokong oleh bukti yang boleh disahkan”.

Bagaimanapun, syarikat itu tidak mengulas dakwaan khusus berkenaan.

"Syarikat telah melantik penasihat undang-undang luar untuk menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh,” menurut kenyataan yang dihantar menerusi e-mel.

"Alice Huang meninggalkan Megaspeed berkuat kuasa 30 Ogos 2025 dan kini tidak lagi memegang sebarang peranan dalam syarikat,” menurut kenyataan itu.

"Megaspeed tidak mengulas mengenai hal peribadi dan privasi Huang.”

Sebagai pelanggan dan rakan kerjasama perkhidmatan awan Nvidia, Megaspeed berdepan penelitian sejak beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk daripada pihak berkuasa AS, berhubung dakwaan bahawa syarikat itu memintas sekatan eksport AS bagi menyalurkan sejumlah besar cip canggih kepada syarikat China.

Pada Disember tahun lepas, Megaspeed memaklumkan bahawa "tiada bukti” menunjukkan berlakunya pemindahan cip secara haram.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Singapura pada Khamis memaklumkan bahawa pihaknya memulakan siasatan terhadap Megaspeed pada Februari 2025, termasuk kemungkinan berlaku "pengisytiharan palsu berkaitan pembelian pelayan komputer”.

Pihak berkuasa turut menyiasat Alice Huang, yang dikenal pasti oleh kerajaan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, pengerusi dan seorang daripada individu utama yang mengawal Megaspeed ketika itu.

Pihak berkuasa Singapura menyoal siasat beliau dan menahan pasportnya tahun lepas.

Bagaimanapun, mereka kemudian memutuskan bahawa bukti tidak mencukupi untuk menunjukkan beliau melakukan jenayah, walaupun mengesyaki beliau memberikan maklumat "tidak tepat” bagi memperkecilkan peranannya dalam syarikat itu.

Laporan terdahulu The New York Times mencadangkan bahawa pegawai AS percaya Alice Huang ialah seorang perisik China yang direkrut untuk berpotensi mempengaruhi Nvidia supaya menjadikan cip canggihnya lebih mudah diperoleh China.

Ketika penelitian semakin meningkat dan laporan mengenai hubungan romantiknya dengan Jensen Huang mendapat perhatian, Nvidia mengumumkan pada Khamis bahawa Jensen Huang akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

Bagaimanapun, Peguam Negara AS, Todd Blanche pada Khamis berkata, Jabatan Kehakiman belum membuat sebarang kesimpulan sama ada Alice Huang ialah perisik China.

Ketika ditanya sama ada beliau seorang perisik, Presiden Donald Trump berkata: "Saya tidak tahu sama ada perkara itu sudah dipastikan.”

Beijing menolak dakwaan berkenaan sebagai tidak berasas.

AP masih belum berjaya menghubungi Alice Huang untuk mendapatkan ulasan.

Megaspeed pada asalnya merupakan cabang operasi luar negara sebuah syarikat pembangun permainan video China dan diperbadankan di Singapura pada 2015 dengan nama 7Road International.

Syarikat itu menggunakan nama semasanya pada Mac 2023 apabila semua sahamnya dipindahkan kepada Huang Le Limited, sebuah syarikat yang berpangkalan di Kepulauan Virgin British.

Alice Huang juga dikenali dengan nama Chinanya, Huang Le.

Menjelang November 2023, nama beliau tidak lagi disenaraikan sebagai pengarah Megaspeed dan semua sahamnya telah dipindahkan kepada sebuah entiti milik ahli perniagaan Singapura, Tan Yong Pong, yang turut dikenali sebagai James Tan.

Walaupun rekod awam menunjukkan demikian, firma penyelidikan jualan singkat Culper Research memetik seorang pekerja Megaspeed dalam laporan yang dikeluarkan pada Mei tahun ini sebagai berkata Alice Huang "sebenarnya masih bos kami” dan terus terlibat dalam operasi harian.

Kedudukan kewangan syarikat itu turut menarik perhatian.

Rekod korporat Singapura menunjukkan jumlah aset Megaspeed meningkat kira-kira 90 kali ganda dari akhir 2023 hingga 2024, mencecah hampir AS$3 bilion.

Dalam kenyataan berasingan yang dikeluarkan pada Khamis atas nama James Tan, Megaspeed memaklumkan bahawa pihaknya memandang "amat serius” kewajipannya di bawah undang-undang kawalan eksport AS.

Syarikat itu memaklumkan bahawa pihaknya telah memberikan kerjasama dalam pemeriksaan oleh Biro Industri dan Keselamatan Jabatan Perdagangan AS serta bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa AS lain yang berkaitan. - Bernama-AP

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!