Perkembangan berkaitan Nvidia tidak ubah kedudukan Malaysia perkukuh sektor semikonduktor, AI negara - Akmal Nasrullah

PUTRAJAYA - Sebarang perkembangan berkaitan Nvidia tidak mengubah kedudukan Malaysia secara ketara untuk terus memperkukuh sektor semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI), kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata, Malaysia kekal memberi tumpuan kepada pelaburan dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi termasuk semikonduktor dan AI bagi mewujudkan nilai tambah dan pulangan lebih baik kepada negara.
Katanya, isu berkaitan Nvidia diuruskan pada peringkat Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) manakala tumpuan terhadap sektor berkenaan kekal dari sudut perancangan ekonomi negara.
"Setakat ini, isu itu tidak mengubah apa-apa secara ketara terhadap kedudukan kita untuk terus mengangkat sektor semikonduktor dan AI ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Kementerian Ekonomi di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu membabitkan Nvidia dan impaknya terhadap sektor semikonduktor negara.
Akmal Nasrullah berkata, pertumbuhan sektor pembuatan dan eksport semikonduktor Malaysia tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan isu berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan bahawa tiada sebarang petunjuk cip AI yang dikaitkan dengan isu Nvidia-Megaspeed dieksport dari Malaysia.
Jumaat lepas, MITI turut memaklumkan bahawa pihaknya tidak pernah memberikan kelulusan kepada Megaspeed International Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura atau syarikat sekutunya di Malaysia, Speedmatrix Sdn Bhd.
Menurut MITI, Speedmatrix adalah penyewa pusat data di Malaysia dan membawa masuk pelayan dan cip AI milik sendiri ke negara ini untuk tujuan operasinya.
MITI juga sedang bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk menentukan sama ada mana-mana cip yang dibawa masuk ke Malaysia telah dieksport semula ke negara lain dan sama ada eksport semula tersebut dilaksanakan mengikut undang-undang.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
