Yayasan AmGroup sumbang RM1.1 juta kepada Zoo Negara sejak 41 tahun

YAYASAN AmGroup meneruskan komitmen terhadap pemuliharaan hidupan liar menerusi pembaharuan tajaan tiga ekor unta di Zoo Negara dengan sumbangan berjumlah RM59,800 bagi tahun ini.
Pembaharuan tajaan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan yayasan berkenaan kepada Zoo Negara mencecah RM1.1 juta sepanjang 41 tahun penglibatannya dalam usaha menyokong kebajikan haiwan dan pemuliharaan hidupan liar.
Menurut Ambank Group, menerusi tajaan terbaharu, tiga ekor unta berkenaan turut diberikan nama Aman, Amal dan Amanee sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh hubungan antara pihak korporat dengan usaha pemuliharaan haiwan.
"Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan Yayasan AmGroup terhadap kebajikan haiwan, pemuliharaan biodiversiti, dan perlindungan hidupan liar.
"Ini selaras dengan usaha lebih luas yayasan tersebut untuk menyokong kelestarian alam sekitar serta memelihara alam semula jadi demi generasi akan datang," katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, yayasan berkenaan turut memperluas usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan hidupan liar dalam kalangan generasi muda menerusi program pendidikan bersama pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Tasik, yang juga sekolah angkat Ambank Group.
Menerusi program itu, pelajar berpeluang menyertai pengalaman berkhemah semalaman di Zoo Negara, termasuk aktiviti berjalan pada waktu malam bagi meneroka kehidupan haiwan nokturnal.
Penganjuran aktiviti berkenaan bertujuan mencetuskan rasa ingin tahu serta memupuk sifat belas ihsan terhadap haiwan dalam kalangan pelajar.
Inisiatif itu juga diharap dapat memberi inspirasi kepada golongan muda untuk menjadi generasi pelindung alam sekitar dan pejuang pemuliharaan hidupan liar pada masa hadapan.
-END-
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
