Pendapatan pelaburan KWSP naik 30 peratus kepada RM83.32 bilion

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM83.32 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama berakhir pada 30 September 2026
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM83.32 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama berakhir pada 30 September 2026
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM83.32 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama berakhir pada 30 September 2026, iaitu meningkat 30 peratus berbanding RM63.99 bilion dalam tempoh yang sama pada 2025.

Dalam satu kenyataan hari ini, dana simpanan persaraan itu menjelaskan bahawa jumlah pendapatan pelaburan bagi suku ketiga 2026 itu meningkat tiga peratus kepada RM25.82 bilion berbanding RM25.07 bilion pada suku yang sama tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, keputusan bagi tempoh sembilan bulan pertama itu mencerminkan daya tahan portfolio pelaburan kami yang pelbagai dan kesinambungan strategi seperti yang dilaksanakan pada suku sebelumnya.

"Kami menyaksikan pertumbuhan pendapatan yang lebih sederhana pada suku ketiga, dan trend ini dijangka berterusan pada suku keempat berikutan kelemahan dalam pasaran ekuiti global serta peningkatan hasil dalam pasaran bon.

"Pada awal suku ini, risiko berkaitan tahap pinjaman kerajaan, inflasi yang berterusan dan penilaian saham berkaitan kecerdasan buatan (AI) semakin meningkat,” katanya.

Ahmad Zulqarnain berkata, perkembangan ini mendorong kami untuk terus berdisiplin dalam menguruskan portfolio, mengimbangi peluang pelaburan dan risiko yang muncul, di samping kekal fokus bagi menjana pulangan mampan dalam tempoh jangka panjang serta memelihara kesejahteraan persaraan ahli,” katanya.

Menurut KWSP, pendapatan ekuiti meningkat sebanyak tiga peratus kepada RM17.41 bilion pada suku ketiga 2026 berbanding RM16.95 bilion pada suku yang sama tahun lepas, merangkumi 67 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku tersebut.

Selain itu, pasaran ekuiti global kekal berdaya tahan sepanjang suku tersebut, disokong oleh pendapatan korporat yang kukuh, pelaburan berterusan dalam tema berkaitan AI dan keadaan ekonomi yang secara umumnya menggalakkan.

"Keadaan ini memberikan peluang kepada pengurus dana KWSP untuk mengurus portfolio secara aktif dan menjana nilai, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan ekuiti,” menurut KWSP.

Artikel Berkaitan:

Bagi instrumen pendapatan tetap, KWSP memaklumkan ia menyumbang sebanyak RM7.12 bilion atau 28 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan pada suku ketiga 2026.

"Walaupun peningkatan hasil di pasaran utama memberi tekanan terhadap penilaian portfolio bon sepanjang suku tersebut, pelaburan pendapatan tetap terus menjana pendapatan yang berdaya tahan dan menyumbang kestabilan kepada keseluruhan portfolio,” menurut dana itu lagi.

Menurut KWSP, infrastruktur dan hartanah mencatatkan pendapatan sebanyak RM890 juta pada suku ketiga 2026, manakala instrumen pasaran wang mencatatkan keuntungan sebanyak RM400 juta, seiring dengan jangkaan pulangan bagi kelas aset masing-masing.

Setakat 30 September 2026, jumlah aset pelaburan sebanyak RM1.55 trilion, dengan 38 peratus daripadanya dilaburkan di peringkat global.

KWSP juga memaklumkan bahawa pelaburan antarabangsa menjana pendapatan sebanyak RM13.68 bilion, merangkumi 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku tersebut.

Jumlah pendapatan pelaburan bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah pula masing-masing berjumlah RM21.39 bilion dan RM4.43 bilion.

Mengenai keahlian, KWSP menyatakan bahawa ia mendaftar kira-kira 659,000 ahli baharu bagi sembilan bulan pertama 2026, menjadikan jumlah keahlian kepada lebih 18.6 juta.

Daripada jumlah itu, jumlah ahli aktif meningkat kepada 11.2 juta, dengan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif bertambah baik kepada 60:40.

"Jumlah majikan aktif pula meningkat kepada 646,686 setakat September 2026, berikutan pendaftaran 54,336 majikan baharu sepanjang tempoh tersebut,” menurut dana tersebut.

Dalam pada itu, jumlah sumbangan meningkat sebanyak 9.34 peratus kepada RM30.44 bllion pada suku ketiga 2026 berbanding RM27.84 bilion bagi suku yang sama tahun lepas.

Menurut KWSP lagi, jumlah caruman sukarela juga meningkat kepada RM18.27 bilion pada tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, sekali gus menunjukkan kesedaran berterusan ahli untuk menambah simpanan persaraan mereka melebihi caruman mandatori.

"Pertumbuhan ini disokong oleh platform digital KWSP yang memudahkan dan mempercepatkan urusan caruman sukarela oleh ahli,” jelas KWSP.

Sementara itu, KWSP turut memaklumkan bahawa jumlah ahli sektor formal Malaysia yang mencarum melebihi kadar berkanun melalui i-Topup meningkat 6.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kepada hampir 244,350 orang.- Bernama 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

Artikel Disyorkan