Bermaz Auto hentikan pengedaran kenderaan XPeng di Malaysia

Bermaz Auto menghentikan pengedaran EV jenama XPeng di Malaysia berkuat kuasa serta-merta.
Bermaz Auto menghentikan pengedaran EV jenama XPeng di Malaysia berkuat kuasa serta-merta.
A
A
A

BERMAZ Auto Bhd menghentikan pengedaran kenderaan elektrik (EV) jenama XPeng di Malaysia berkuat kuasa serta-merta mulai 16 November 2026, susulan keputusan pengeluar dari China itu menyusun semula rangkaian pengedarannya di negara ini.

Keputusan itu membabitkan anak syarikat milik 85 peratus Bermaz Auto, Bermaz Xpeng Sdn Bhd (BXpeng), yang turut menghentikan operasi pengedaran jenama berkenaan.

Bermaz Auto dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin memaklumkan, keputusan berkenaan dibuat susulan perancangan XPeng Inc, China selaku pemilik jenama dan pengeluar utama kenderaan XPeng untuk menyusun semula rangkaian pengedarannya di Malaysia.

Sebelum ini, BXpeng memeterai Perjanjian Pengedaran dan Perjanjian Tuntutan Waranti dengan anak syarikat XPeng Inc pada Mac 2024, merangkumi pengedaran kenderaan, penyediaan perkhidmatan selepas jualan serta penjualan alat ganti di Malaysia. Kedua-dua perjanjian itu dijadualkan tamat pada Mac 2027.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak kini sedang memuktamadkan terma penamatan perjanjian berkenaan termasuk beberapa perjanjian sampingan lain.

Bermaz Auto berkata, pengumuman lanjut akan dibuat sebaik sahaja perjanjian pemisahan ditandatangani.

"Dalam tempoh ini, BXpeng akan terus bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar.

"Pemberhentian BXpeng sebagai pengedar kenderaan XPeng di Malaysia tidak dijangka memberi sebarang kesan kewangan dan operasi yang material terhadap kumpulan Bermaz bagi tahun kewangan semasa," menurut kenyataan tersebut.

Perkembangan tersebut turut menyaksikan Bermaz Auto sekali lagi menamatkan kerjasama pengedaran dengan jenama automotif antarabangsa selepas menamatkan kerjasama dengan Kia kira-kira setahun lalu susulan keputusan pengeluar dari Korea Selatan itu mengambil alih pengedaran kenderaannya di Malaysia.

Bagaimanapun, kumpulan itu akan terus mengedarkan kenderaan Mazda di pasaran tempatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!