MAFAR Group sasar perolehan RM150 juta

MENGURUSKAN sebuah klinik bukan sekadar merawat pesakit di bilik konsultasi. Di sebalik operasi harian, doktor turut berdepan pelbagai urusan lain termasuk pengurusan kakitangan, kewangan, pemasaran, teknologi dan pentadbiran yang memerlukan kepakaran tersendiri.
Menyedari cabaran tersebut, MAFAR Group mengambil pendekatan berbeza dengan membangunkan ekosistem sokongan yang menggabungkan operasi klinik, latihan perniagaan, teknologi, pemasaran, media dan pengurusan berpusat.
Langkah itu membolehkan doktor memberi tumpuan kepada perkara paling utama, iaitu merawat pesakit dan berkhidmat kepada komuniti.
Menurut pengasasnya, Dr Arieffahmi Abd Razak, membuka klinik sendiri dengan modal mencecah ratusan ribu ringgit tidak semestinya menjanjikan pulangan lumayan. Malah, terdapat doktor yang tidak menerima gaji sendiri selama bertahun-tahun.
Lebih membimbangkan, kira-kira 70 peratus klinik di Malaysia dilaporkan mencatat jualan di bawah RM60,000 sebulan berdasarkan data Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
“Terdapat doktor yang tidak menerima gaji selama tiga tahun. Mereka bekerja siang dan malam di klinik sendiri, namun tidak memperoleh pendapatan, malah terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membayar gaji kakitangan.
“Akibatnya, doktor mengalami keletihan melampau atau burnout. Mereka akhirnya menjual klinik dan kembali bekerja dengan pihak lain, selain masih perlu menanggung baki hutang sehingga 10 tahun.
“Mengapa perkara ini berlaku? Pertama, mereka kurang kemahiran dan ilmu perniagaan. Kedua, infrastruktur serta sokongan kepada doktor dalam pasaran masih tidak mencukupi. Sebab itu kami membina ekosistem untuk menyokong doktor dan pemilik klinik,” katanya ketika ditemui Sinar Bisnes baru-baru ini.

150 rangkaian klinik menjelang 2031
Arieffahmi yang juga Pengerusi MAFAR Group berkata, melalui pendekatan pengambilalihan penuh, usaha sama dan pembangunan klinik baharu, kumpulan itu kini memiliki pegangan majoriti dalam 10 klinik yang beroperasi di Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Johor.
Pada masa sama, tiga lagi fasiliti baharu sedang dibangunkan.
Selain itu, MAFAR Group turut menyediakan perkhidmatan sokongan kepada lebih 200 klinik pelanggan di seluruh negara.
Dari sudut teknologi, kumpulan tersebut mengintegrasikan sistem pengurusan klinik dalaman, perisian kecerdasan buatan (AI) bagi penyediaan nota konsultasi dan cadangan diagnosis, papan pemuka berpusat serta aplikasi pesakit yang menawarkan rekod kesihatan dan sistem ganjaran.
Model intervensi pengurusan yang dilaksanakan juga berjaya meningkatkan jualan beberapa klinik rakan kongsi daripada RM30,000 hingga RM40,000 sebulan kepada lebih RM100,000 sebulan dalam tempoh tiga hingga empat bulan.
“Tahun ini kami menyasarkan 10 klinik. Tahun depan, kami akan menambah 10 lagi menjadikan jumlah keseluruhan 20 klinik. Pada 2028, kami bercadang menambah 30 lagi bagi mencapai 50 klinik.
“Melalui pelan hala tuju yang dirangka, menjelang 2030 atau 2031 kami mahu memiliki sebanyak 150 klinik,” katanya.
Berdasarkan sasaran tersebut, beliau berkata, MAFAR Group menyasarkan perolehan tahunan sekurang-kurangnya RM150 juta melalui pemerkasaan ekosistem sokongan perkhidmatan kesihatan primer di seluruh negara.
Bagi merealisasikan perancangan itu, MAFAR Group kini mengadakan perbincangan dengan pelabur institusi serta pihak bank untuk membiayai usaha penyatuan rangkaian klinik berkenaan.
Beliau optimis sasaran tersebut mampu dicapai berdasarkan rekod kumpulan yang mencatatkan lonjakan perolehan disatukan kepada RM10 juta tahun ini berbanding sekitar RM3 juta pada tahun sebelumnya.

Cabaran aliran tunai
Dalam usaha membangunkan ekosistem perniagaan MAFAR, kumpulan tersebut tidak terlepas daripada pelbagai cabaran, khususnya berkaitan pembiayaan dan kelangsungan operasi.
“Tiga tahun pertama memang sukar. Namun, cabaran terbesar yang kami hadapi adalah dari segi kewangan kerana kami sebenarnya bermula tanpa modal yang besar.
“Jika orang lain memerlukan sekitar RM400,000 untuk membuka sebuah klinik, kami pula mahu membina keseluruhan ekosistem yang merangkumi syarikat media, teknologi dan syarikat pegangan. Kos untuk membina pasukan, pelan tindakan, sistem serta teknologi adalah jauh lebih tinggi,” katanya.
Justeru, Arieffahmi berkata, pembiayaan Bank Simpanan Nasional (BSN) Micro-i MADANI berjumlah RM50,000 yang diterima sebelum ini banyak membantu syarikat menguruskan keperluan aliran tunai ketika berada pada peringkat awal pembangunan.
“Dana itu membantu aliran tunai syarikat pada saat kami amat memerlukannya. Ia membolehkan kami menampung kos projek dan pasukan, selain memberi ruang untuk terus mengembangkan perniagaan dalam beberapa bulan berikutnya,” katanya.

Bipolar bukan penghalang
Pengalaman berdepan gangguan bipolar yang didiagnosis pada 2018 mendorong Arieffahmi membina organisasi yang tidak bergantung kepada kehadiran atau keupayaan dirinya semata-mata.
“Apabila memulakan perniagaan ini pada 2023, saya membangunkannya dengan berbekalkan pengetahuan, pengalaman dan rangkaian yang saya miliki.
“Saya perlu menerima hakikat bahawa saya menghidap bipolar dan mungkin tidak dapat berfungsi seperti biasa pada bila-bila masa. Oleh itu, saya membina sesuatu yang tidak bergantung kepada diri saya dan bersedia untuk meninggalkan syarikat ini bila-bila masa jika diperlukan,” katanya.
Tambah beliau, prinsip tersebut menjadi teras dan falsafah MAFAR yang berpegang kepada konsep build-to-last organisation.
“Kami mahu membina organisasi yang mampu bertahan untuk jangka masa panjang. Sebab itu kami menitikberatkan aspek sistem dan struktur. Tahun depan, kami merancang untuk melaksanakan pensijilan ISO sebagai sebahagian daripada usaha membina institusi ini.
“Akhirnya, saya mahu meninggalkan sesuatu yang menjadi amal jariah dan terus memberi manfaat walaupun saya sudah tiada, sama ada kepada komuniti di Malaysia mahupun di peringkat global,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
