Lukaku umum bersara

No Image Caption
A
A
A

BRUSSELS - Penyerang Belgium, Romelu Lukaku mengumumkan persaraannya daripada skuad kebangsaan, sehari selepas kemenangan 4-1 ke atas Itali dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Penyerang Fenerbahce itu hanya berada di bangku simpanan dan tidak diturunkan dalam perlawanan berkenaan yang menyaksikan Belgium layak ke suku akhir.

"Saya menerima keputusan untuk berhenti setakat ini dengan hati yang tenang. Ia satu pengalaman yang luar biasa,” tulis pemain berusia 33 tahun itu di Instagram pada Isnin.

"Sepanjang 16 tahun ini, saya telah memberikan segala-galanya untuk pasukan kebangsaan... Saya melalui pelbagai pengalaman dan emosi.”

Lukaku membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan Belgium yang dikenali sebagai Red Devils pada 2010 ketika berusia 16 tahun.

Dengan 94 gol dalam 135 penampilan, beliau muncul penjaring gol terbanyak sepanjang zaman bagi skuad bola sepak lelaki kebangsaan Belgium.

Lukaku merupakan sebahagian daripada generasi emas Belgium bersama Kevin De Bruyne dan Eden Hazard, namun mereka gagal meraih sebarang kejuaraan utama di peringkat antarabangsa.

Pencapaian terbaik mereka ialah menduduki tempat ketiga pada Piala Dunia 2018 di Rusia.

Bekas penyerang Chelsea dan Inter Milan itu beraksi dalam empat edisi Piala Dunia (2014, 2018, 2022 dan 2026) serta tiga edisi Kejohanan Eropah (2016, 2021 dan 2024).

Artikel Berkaitan:

Jurulatih Belgium Mark van Bommel dalam satu kenyataan berkata: "Kami menghormati keputusan Romelu. Walaupun saya hanya berpeluang bekerja dengannya dalam tempoh yang agak singkat, saya amat menghormatinya sebagai seorang individu, khususnya keperibadian, perwatakan dan kepimpinannya.”- Bernama 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!