Ayob Khan umum bersara mulai Ahad ini

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dijangka menamatkan perkhidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Ahad ini selepas hampir 35 tahun berkhidmat.
Ayob Khan berkata, Ahad ini merupakan hari terakhir beliau menyarung uniform PDRM selepas hampir tiga setengah dekad berbakti kepada pasukan keselamatan itu.
“Insya-ALLAH, Ahad ini adalah hari terakhir saya dalam pasukan selepas berkhidmat hampir 35 tahun bersama PDRM,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran buku biografinya di sini pada Khamis.
Ayob Khan pernah menyandang pelbagai jawatan penting termasuk Ketua Polis Johor, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada Jun 2023.
Mengulas perancangannya selepas bersara, Ayob Khan berkata, beliau mungkin membuka restoran sehingga orang ramai berpeluang melihatnya dalam suasana yang berbeza.
“Nanti mungkin orang nampak saya pakai kain pelikat dan baju pagoda sambil menebar roti canai,” katanya berseloroh.
Beliau berkata, buat masa ini, keutamaannya adalah berehat terlebih dahulu selepas menamatkan perkhidmatan dalam PDRM.
“Saya ada menerima beberapa tawaran, tetapi belum memikirkannya lagi. Insya-ALLAH, saya mahu berehat dahulu.
“Mungkin selepas ini akan ada sebuah lagi buku yang ditulis dengan lebih terperinci mengenai operasi yang pernah saya sertai dan boleh dikongsikan kepada masyarakat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
