[KIRAAN SEMASA] PRN Negeri Sembilan: PH mendahului dalam saingan lima penjuru di DUN Nilai

SHAH ALAM - Naib Pengerusi DAP Kebangsaan yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai, J Arul Kumar terus mendahului persaingan lima penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Berdasarkan kiraan semasa dipaparkan, Arul memperoleh 5,424 undi meninggalkan pencabar terdekat daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Lai Chien Kong yang meraih 3,069 undi.
Calon Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Zamani Ibrahim berada di kedudukan ketiga dengan 1,917 undi, diikuti calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk V. Saravana Kumar yang memperoleh 218 undi, manakala calon Bebas, Omar Isa meraih 44 undi.
DUN Nilai menjadi antara kerusi tumpuan pada PRN kali ini susulan pertandingan lima penjuru membabitkan penyandang daripada PH-DAP, selain BN, Bersatu, Berjasa dan calon Bebas.
Pada PRN Negeri Sembilan 2023, kerusi DUN Nilai dimenangi J Arul Kumar dengan majoriti 10,889 dalam saingan empat penjuru apabila mendapat undian sebanyak 19,133.
Lawannya, Gan Chee Biow (PN-Bersatu) mendapat 8,244 diikuti dua calon bebas, Omar Mohd Isa (1,430 undi) dan S Yessu (57 undi).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

