Ronaldinho kembali beraksi selepas 11 tahun

LEGENDA bola sepak Brazil, Ronaldinho mencuri tumpuan apabila kembali beraksi dalam perlawanan kompetitif buat kali pertama selepas 11 tahun pada usia 46 tahun.
Bekas pemenang Piala Dunia itu membuat penampilan bersama kelab divisyen ketiga Itali, Ravenna, yang menurunkannya dalam kesebelasan utama ketika menentang seteru tempatan, Forli dalam aksi Serie C pada Ahad.
Menyarung jersi nombor 10, Ronaldinho beraksi sepanjang 45 minit pertama sebelum meninggalkan padang ketika rehat separuh masa pertama.
Beliau turut mengambil kesempatan mengelilingi padang di Stadium Bruno Benelli sambil melambaikan tangan kepada penyokong yang bangun memberikan tepukan penghargaan.
Lebih manis, kemunculan semula bekas bintang Barcelona itu diakhiri dengan kemenangan 2-0 buat Ravenna menerusi jaringan Giulio Donati pada minit ke-36 dan Simone Rabbi pada minit ke-58.
Ronaldinho turut memainkan peranan dalam gerakan yang membawa kepada jaringan pembukaan Donati, sekali gus memberikan impak dalam penampilan sulungnya bersama kelab berkenaan.
"Seronok dapat berada di sini, bermain dan merasai suasana persiapan dalam bilik persalinan. Saya juga gembira dapat beraksi bersama rakan sepasukan yang membesar dengan menyaksikan aksi saya," katanya kepada Sky Sport Italia.
Kali terakhir Ronaldinho beraksi secara profesional ialah bersama Fluminense pada September 2015 sebelum mengumumkan persaraan secara rasmi pada 2018. Ravenna yang dipimpin presidennya, Ignazio Cipriani, sahabat lama pemain itu, mengumumkan penyertaannya pada Jun lalu. Ronaldinho turut memiliki pegangan dalam kelab berkenaan.
Sepanjang karier gemilangnya, Ronaldinho pernah membantu Brazil menjulang Piala Dunia 2002, memenangi anugerah Ballon d'Or 2005 serta Liga Juara-Juara bersama Barcelona pada 2006.
Mengulas mengenai pengalaman kembali ke padang, Ronaldinho menyifatkan tempoh perlawanan itu berlalu terlalu pantas malah tidak menolak kemungkinan membuat penampilan sekali lagi bersama Ravenna.
"Ia berlalu terlalu pantas, begitulah bola sepak bagi saya selama ini. Jika presiden menghubungi saya, saya akan kembali," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
