Pengalaman urus Covid-19 bawa Ismail Sabri genggam PhD

Raja Muda Kedah menyampaikan ijazah PhD kepada Ismail Sabri pada Majlis Konvokesyen UUM Ke-39 yang berlangsung di Dewan Mu'adzam Shah di Sintok pada Isnin.
Raja Muda Kedah menyampaikan ijazah PhD kepada Ismail Sabri pada Majlis Konvokesyen UUM Ke-39 yang berlangsung di Dewan Mu'adzam Shah di Sintok pada Isnin.
A
A
A

SINTOK – Bekas Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakob berjaya memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) hasil penyelidikan ilmiah pengurusan krisis pandemik Covid-19.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin berkenan menyampaikan ijazah berkenaan kepada Ismail Sabri pada Majlis Konvokesyen UUM Ke-39 yang berlangsung di Dewan Mu'adzam Shah di sini pada Isnin.

Ahli Parlimen Bera itu merupakan antara 451 graduan yang menerima ijazah sarjana dan PhD dalam majlis konvokesyen berkenaan.

Kejayaan itu cukup bermakna apabila beliau berjaya mendokumentasikan pengalaman mengurus krisis kesihatan negara sepanjang pandemik Covid-19 dalam bentuk kajian akademik yang boleh dijadikan rujukan generasi akan datang.

Tesis penyelidikan beliau bertajuk Pengurusan Krisis dan Polisi Keselamatan Kesihatan 2020-2022: Strategi Malaysia Menghadapi Pandemik Covid-19.

Kajian berkenaan diselia oleh Prof Dr Rusdi Omar dan Prof Madya Dr Che Mohd Aziz Yaacob, manakala Prof Madya Ts Dr Jessica Ong Hai Liaw bertindak sebagai penyelia luar.

Tempoh kajian tersebut merangkumi fasa penting pengurusan pandemik ketika Ismail Sabri menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Kanan Pertahanan dari 10 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021 sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan pada 21 Ogos 2021 hingga 10 Oktober 2022.

Beliau turut pernah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan pada Julai hingga Ogos 2021.

Kejayaan memperoleh PhD pada 2026 itu melengkapkan perjalanan akademik beliau yang bermula lebih empat dekad lalu apabila memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dengan Kepujian dari Universiti Malaya (UM) bagi tempoh 1980 hingga 1984.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Naib Canselor UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed dan Ahli Lembaga Pengarah UUM, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!