Program Kompas Sejahtera bakal diperluas ke seluruh penjara di Malaysia

Rosoman (dua dari kiri) menerima cenderahati daripada pihak UUM sambil diperhatikan Siew Khim pada Majlis Perasmian Penutup Program Kompas Sejahtera Jabatan Penjara Malaysia 2026 di Penjara Seberang Perai, pada Jumaat.
Rosoman (dua dari kiri) menerima cenderahati daripada pihak UUM sambil diperhatikan Siew Khim pada Majlis Perasmian Penutup Program Kompas Sejahtera Jabatan Penjara Malaysia 2026 di Penjara Seberang Perai, pada Jumaat.
A
A
A

NIBONG TEBAL- Jabatan Penjara Malaysia bercadang memperluaskan pelaksanaan Program Kompas Sejahtera ke seluruh institusi penjara di negara ini sebagai usaha memperkukuh proses pemulihan penghuni menerusi pendekatan pembangunan kebapaan dan kekeluargaan.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Rosoman Abu Bakar @ Che Din berkata, program berkenaan tidak seharusnya terhenti setakat pelaksanaannya di Penjara Seberang Perai sebaliknya dijadikan program rintis untuk diperluaskan ke institusi penjara lain.

Menurutnya, modul kebapaan yang diperkenalkan menerusi program itu bertujuan membentuk kesedaran penghuni penjara terhadap tanggungjawab mereka sebagai bapa dan suami selain membantu mempersiapkan diri untuk kembali menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab.

“Tanggungjawab seorang bapa bukan sekadar menyediakan keperluan material, tetapi turut merangkumi kasih sayang, perhatian, pendidikan, bimbingan dan pembentukan sahsiah anak-anak,” katanya di Penjara Seberang Perai, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Kompas Sejahtera Jabatan Penjara Malaysia 2026 yang disempurnakan Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim.

Rosoman berkata, program berkenaan turut memberi penekanan kepada pembangunan warga kerja Jabatan Penjara dan tidak hanya tertumpu kepada penghuni penjara.

Katanya, modul berkenaan wajar diperluaskan kepada pegawai serta kakitangan penjara bagi menyokong pembangunan institusi, kesejahteraan organisasi dan mengukuhkan peranan mereka sebagai pembimbing serta ejen perubahan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan program berkenaan membabitkan kerjasama strategik Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menerusi perkongsian kepakaran serta pembangunan modul bersesuaian.

"Program ini turut membabitkan 30 fasilitator terdiri daripada pegawai dan kakitangan institusi penjara Zon Utara meliputi Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak.

"Seramai 224 prospek lelaki dari Penjara Seberang Perai pula mendapat manfaat menerusi pelaksanaan program ini yang menekankan pembangunan jati diri, hala tuju kehidupan, pengurusan diri serta pembentukan hubungan kekeluargaan yang harmoni," ujarnya.

Tambah Rosoman, Jabatan Penjara turut mencadangkan supaya kemahiran dan kepakaran fasilitator yang terlibat diberikan pengiktirafan melalui pensijilan bagi memastikan ilmu serta kemahiran diperoleh dapat dimanfaatkan secara lebih meluas.

"Saya berharap program berkenaan menjadi titik permulaan kepada perubahan positif dalam kehidupan prospek sekali gus membantu mereka membina masa depan lebih bermakna selepas menjalani proses pemulihan.

“Peluang untuk berubah sentiasa ada. Apa yang penting ialah kesediaan seseorang untuk mengambil langkah pertama ke arah perubahan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!