Tauke helikopter terima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah UUM

Tuanku Sultan Sallehuddin berkenan menyampaikan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengurusan Teknologi, Operasi dan Logistik kepada Syed Azman sempena Majlis Konvokesyen Ke-39 UUM di Sintok pada Ahad.
Tuanku Sultan Sallehuddin berkenan menyampaikan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengurusan Teknologi, Operasi dan Logistik kepada Syed Azman sempena Majlis Konvokesyen Ke-39 UUM di Sintok pada Ahad.
A
A
A

SINTOK - Tokoh korporat terkemuka negara, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim dimasyhurkan sebagai penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengurusan Teknologi, Operasi dan Logistik sempena Majlis Konvokesyen Ke-39 Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Ahad.

Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang juga Tuanku Canselor UUM berkenan menyampaikan anugerah tersebut kepada Syed Azman yang sinonim dengan gelaran tauke helikopter pada sidang pertama majlis berkenaan di Dewan Mu’adzam Shah di sini.

Naib Canselor UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, pengurniaan ijazah kehormat itu merupakan pengiktirafan terhadap kepakaran, sumbangan serta kepimpinan Syed Azman dalam mengintegrasikan teknologi termaju, modal insan, kecekapan operasi dan pengurusan logistik pada skala global.

Menurutnya, pihak universiti berbangga dengan pencapaian Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Weststar itu yang juga anak kelahiran Sungai Petani, Kedah.

“Selain sektor penerbangan dan automotif, Kumpulan Weststar turut melebarkan sayap perniagaan dalam bidang pertahanan, pembinaan, hospitaliti serta makanan dan minuman.

“Di sebalik kejayaan membangunkan empayar perniagaan, Syed Azman turut memberi perhatian terhadap pembangunan pendidikan, institusi dan kebajikan masyarakat,” katanya pada Ahad.

Titik perubahan besar dalam perjalanan keusahawanan Syed Azman berlaku pada 2003 apabila beliau membeli sebuah helikopter bagi memenuhi keperluan mobiliti pantas untuk urusan perniagaan selepas berkhidmat sebagai pegawai Kor Risik Diraja selama 13 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pengalaman itu membuka peluang kepada beliau meneroka potensi perkhidmatan penerbangan helikopter, khususnya bagi menyokong industri minyak dan gas luar pesisir.

Langkah berkenaan membawa kepada penubuhan Weststar Aviation Services yang bermula dengan hanya dua buah helikopter sebelum berkembang pesat dengan mengoperasikan lebih 64 helikopter di 11 negara.

Artikel Berkaitan:

Dalam bidang kemasyarakatan, Syed Azman aktif menyokong pelbagai program kebajikan termasuk misi bantuan bencana, pembangunan komuniti, kebajikan rumah anak yatim serta pembinaan dan penyelenggaraan surau dan masjid.

Beliau juga cakna terhadap kebajikan veteran ATM sebelum dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M pada 25 Ogos lalu.

Ketika menyampaikan ucapan penerimaan anugerah, Syed Azman merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih atas perkenan Tuanku Canselor mengurniakan ijazah kehormat itu, selain merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan UUM.

Beliau turut menitipkan tiga nasihat kepada graduan iaitu supaya tidak berhenti belajar, sentiasa menjaga amanah dan kepercayaan serta tidak takut memulakan sesuatu dari bawah.

“Setiap fasa kehidupan menawarkan peluang untuk menimba ilmu baharu, manakala pengurusan yang baik perlu berteraskan kejujuran dalam mengurus manusia, aset dan risiko.

“Permulaan kecil bukan penghalang untuk mencipta kejayaan luar biasa, sebaliknya memerlukan disiplin, wawasan strategik dan keberanian mengambil risiko,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!