KPJ Pulau Pinang hantar ubat ke rumah pesakit

Pegawai farmasi Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang menghantar bekalan ubat kepada Richard.
Pegawai farmasi Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang menghantar bekalan ubat kepada Richard.
A
A
A

BUTTERWORTH - Tidak perlu ke hospital untuk mendapatkan bekalan ubat, sebaliknya Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang menyediakan penghantaran kepada pesakit sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zabidi Abdul Razak berkata, inisiatif itu diambil bagi memastikan pelanggan KPJ mematuhi PKP yang ditetapkan kerajaan dalam mencegah penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, perlaksanaan kaedah itu bagi memastikan bekalan ubat pesakit tidak terganggu di samping menjaga penjarakan terutama bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik dan berisiko tinggi.

"Perkhidmatan ini dilaksanakan dengan mengambil kira garis panduan serta langkah-langkah pencegahan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Pesakit yang ingin menggunakan perkhidmatan itu boleh membuat pesanan secara dalam talian yang mana mereka perlu memilih masa yang ditetapkan oleh pihak KPJ," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Zabidi berkata, selain perkhidmatan penghantaran ubat susulan ke rumah, pihaknya turut menawarkan perkhidmatan farmasi pandu lalu dan penghantaran ubat melalui khidmat kurier.

Sementara itu, salah seorang pelanggan, Richard Anthony, 65, memuji perkhidmatan yang disediakan hospital itu kerana memudahkan pesakit ketika berdepan dengan kekangan untuk bergerak ketika PKP.

Dia yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung dan tulang belakang berkata, dia sepatutnya perlu hadir ke hospital untuk temu janji bersama pakar jantung namun dimaklumkan tidak perlu ke hospital kerana bekalan ubat akan dihantar oleh petugas kesihatan di rumah.

Artikel Berkaitan:

“Perkhidmatan ini sangat baik ketika negara dilanda Covid-19 dan dapat melindungi diri saya dari dijangkiti apatah lagi saya adalah golongan berusia yang mempunyai pelbagai penyakit kronik.

“Memang ketika ini saya takut untuk keluar rumah dan bersyukur sangat apabila dimaklumkan adanya kemudahan seperti ini kepada pesakit seperti saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Mesra, Bagan Lalang, di sini.