Lelaki warga Bangladesh didakwa miliki 11 pasport milik orang lain

KULIM - Seorang warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini memiliki 11 pasport milik rakan senegara, Jun lalu.
Tertuduh, Salman Mallik, 49, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya pada Rabu.
Mengikut pertuduhan, dia didapati tanpa kuasa yang sah mempunyai dalam milikan 11 pasport warganegara Bangladesh iaitu suatu pasport yang dikeluarkan untuk kegunaan orang lain.
Perbuatan itu dilakukan di Kedai Salimun Enterprise, Taman Senangin di sini jam lebih kurang 7 petang, 27 Jun lalu.
Oleh demikian, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 [Akta150] dan boleh dihukum bawah seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Preeyaa manakala tertuduh diwakili peguam Lim Sheng Zhe.
Pihak pembelaan memohon agar jaminan minimum diberikan memandangkan tertuduh yang berkahwin di Malaysia perlu berada di sisi dan menanggung kos rawatan isteri yang sedang sakit.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan dua orang penjamin dan pasportnya diserahkan sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan 13 September depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

