Israel serang Hospital Nasser, enam termasuk kanak-kanak, pakar bedah maut

GAZA – Serangan udara Israel ke atas Hospital Nasser di selatan Gaza yang mengorbankan enam nyawa termasuk seorang pakar bedah dan kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun, sekali lagi mendedahkan kemusnahan sistem kesihatan wilayah Palestin itu selepas tiga tahun konflik.
Serangan pada Khamis itu menyasarkan bahagian pembedahan hospital berkenaan di Khan Younis, menyebabkan kerosakan teruk pada bilik bedah, wad pesakit serta ruang pemulihan.
Sekurang-kurangnya 12 individu lain turut cedera dalam serangan berkenaan, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Tentera Israel mendakwa operasi itu menyasarkan seorang komander Hamas yang didakwa menggunakan hospital berkenaan sebagai pangkalan operasi untuk merancang serangan.
Bagaimanapun, pihak tentera tidak mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan tersebut atau menjelaskan mengapa unit pembedahan hospital menjadi sasaran.
Hospital Nasser merupakan antara beberapa kemudahan perubatan yang masih beroperasi di Gaza, sekali gus menjadikan serangan itu tamparan besar kepada usaha memulihkan perkhidmatan kesihatan di wilayah berkenaan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 1,050 serangan terhadap kemudahan kesihatan di Gaza telah direkodkan sepanjang konflik, mengakibatkan lebih 1,000 kematian.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula menganggarkan lebih 1,700 petugas perubatan terbunuh sepanjang peperangan, termasuk dalam serangan yang berlaku di luar kawasan kemudahan kesihatan.
Sepanjang konflik, tentera Israel turut mengepung beberapa hospital di Gaza selama berminggu-minggu, menyebabkan pesakit dan kakitangan perubatan terperangkap tanpa bekalan mencukupi.
Hospital Shifa di Gaza City, kemudahan perubatan terbesar di wilayah itu, turut mengalami kemusnahan besar selepas dua operasi ketenteraan Israel.
Hospital Nasser sendiri pernah menjadi sasaran serangan pada 2025 yang mengorbankan 22 individu termasuk lima wartawan, salah seorang daripadanya wartawan Associated Press (AP), Mariam Dagga.- Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
