Covid-19: Jumlah pesakit pulih sekali lagi melebihi kes baharu

Dr Noor Hisham. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jumlah pesakit yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj dari wad hari ini adalah 121 orang sekaligus melebihi jumlah kes positif baharu wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 88 kes baharu direkodkan menjadikan kumulatif kes wabak itu di Malaysia meningkat kepada 5,691.

Menurutnya, daripada 88 kes baharu itu 13 merupakan kes melibatkan kes import dan selebihnya merupakan penularan tempatan.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,932 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Sehingga kini, seramai 41 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 18 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat satu lagi kematian baharu direkodkan.

Katanya, dengan pertambahan itu menjadikan kumulatif kes kematian akibat Covid-19 meningkat kepada 96 kes.

"Kes kematian ke-96 (kes ke-2978) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang," katanya.

Artikel Berkaitan: