Permohonan kebenaran merayu LHDN dalam kes kebankrapan Najib didengar Februari depan

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
A
A
A

PUTRAJAYA -  Mahkamah Persekutuan menetapkan 23 Februari tahun depan untuk mendengar permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan prosiding kebankrapan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika dihubungi Bernama, peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Najib mengesahkan tarikh pendengaran berkenaan.

Beliau berkata, tarikh pendengaran itu ditetapkan pada pengurusan kes terdahulu yang berlangsung pada 4 November lepas.

Satu lagi sesi pengurusan kes diadakan hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Norshakinah Ahmad Kamarudin.

Sementara itu, Wee turut mengesahkan bahawa LHDN tidak memfailkan permohonan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan prosiding kebankrapan terhadap anak Najib, Datuk Mohd Nazifuddin.

Pada 4 September lepas, Mahkamah Rayuan memutuskan memihak kepada Najib dan Mohd Nazifuddin yang memohon penangguhan prosiding kebankrapan sementara menunggu rayuan mereka berhubung taksiran cukai tambahan yang dikeluarkan oleh LHDN diputuskan oleh Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP).

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Dr Alwi Abdul Wahab memutuskan penangguhan itu wajar diberikan memandangkan terdapat isu khusus dibangkitkan Najib dan Mohd Nazifuddin untuk dibicarakan di hadapan PKCP, sekali gus menjadi alasan mencukupi untuk membenarkan penangguhan berkenaan.

Hakim Alwi berkata terdapat isu substantif berhubung kesilapan pengiraan jumlah yang didakwa tertakluk kepada cukai kira-kira RM1.69 bilion, termasuk percukaian berganda, layanan cukai terhadap derma yang dipulangkan serta dividen digunakan bagi tujuan kebajikan dan politik.

Beliau berkata, LHDN tidak mempertikaikan merit isu berkenaan, sebaliknya berhujah bahawa perkara itu sewajarnya diputuskan oleh PKCP

Prosiding kebankrapan itu berpunca daripada keputusan berasingan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN bagi mendapatkan penghakiman terus terhadap mereka berhubung tunggakan cukai yang belum dibayar bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017.

LHDN menuntut bayaran tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin.

Najib dan Mohd Nazifuddin sebelum ini gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan penghakiman terus berkenaan.

Susulan itu, notis kebankrapan dikeluarkan terhadap kedua-duanya. Mereka kemudian memohon penangguhan prosiding kebankrapan, namun permohonan itu ditolak oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kamarul Aris Kamalluddin pada 29 Julai 2024.

Mereka kemudian merayu terhadap keputusan Timbalan Pendaftar itu di Mahkamah Tinggi, namun tidak berjaya, menyebabkan kedua-duanya mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Najib kini menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International Sdn Bhd secara tahanan di rumah di kediamannya di Kuala Lumpur selepas membayar denda RM50 juta.

Pada September lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat lanjut kepada Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat lain yang ditetapkan.- Bernama 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!