Keselamatan anggota polis perlu diperkasakan

 Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Keselamatan anggota polis perlu diperkasakan menerusi latihan mencukupi, kelengkapan perlindungan bersesuaian dan prosedur operasi yang mengutamakan keselamatan susulan peningkatan tingkah laku ganas dalam masyarakat.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (IKATAN), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, serangan menggunakan senjata dan tindakan agresif melampau tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang biasa.

“Penguatkuasaan undang-undang yang tegas, langkah pencegahan berkesan dan kesedaran masyarakat perlu dipertingkatkan bagi membendung gejala ini.

“Anggota polis perlu sentiasa berwaspada, peka dan bersedia menghadapi sebarang risiko, khususnya ketika berhadapan dengan individu yang berpotensi bertindak ganas,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal parah selepas ditetak seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanannya terputus.

Mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pembedahan.

Pergelangan tangan kanan anggota polis yang terputus itu berjaya disambung semula menerusi pembedahan di HKL, manakala mangsa dilaporkan sudah sedar dan ibu jarinya mula menunjukkan sedikit pergerakan.

Pihak polis memaklumkan bahawa lelaki warga asing itu dipercayai mengalami gangguan mental berdasarkan keterangan seorang kenalannya, manakala punca keadaan tersebut masih dalam siasatan.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, selain rawatan perubatan, anggota polis berkenaan perlu diberikan program pemulihan (rehabilitasi) menyeluruh, termasuk fisioterapi dan terapi pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Langkah itu bagi memaksimumkan pemulihan fungsi tangan dan membolehkan mangsa tersebut kembali menjalankan tugas dengan selamat, tertakluk kepada penilaian perubatan.

“Saya mendoakan agar beliau segera pulih dan ingin merakamkan penghargaan kepada pasukan perubatan atas usaha cemerlang mereka yang berjaya menyambung semula tangannya.

“Kita mesti melindungi mereka yang bertanggungjawab melindungi kita. Keselamatan anggota polis dan seluruh masyarakat harus kekal sebagai keutamaan bersama negara,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!