Polis kesan suspek salah guna gambar Raja Muda Selangor

SHAH ALAM – Polis sedang mengesan individu yang dipercayai menyalahgunakan gambar Raja Muda Selangor dan menyamar sebagai juruiring (ADC) untuk memperdaya orang ramai dalam urusan pembelian rumah dan kenderaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, polis telah menerima laporan berhubung kejadian itu daripada Pejabat Kawalan Keselamatan Sultan Selangor, Istana Mestika pada jam 9.53 pagi, 15 Oktober lalu.
"Laporan itu berhubung hantaran di platform Threads yang mendakwa terdapat seorang lelaki yang mengaku sebagai ADC kepada Raja Muda Selangor dan menggunakan gambar baginda untuk memperdaya orang awam dalam urusan pembelian rumah dan kenderaan.
"Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Usaha mengesan suspek sedang dijalankan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sehubungan itu, Shazeli menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan membuat pengesahan melalui saluran rasmi sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
Terdahulu, Pejabat Sultan Selangor dalam kenyataan memaklumkan bahawa isu individu yang didakwa menyamar sebagai Pengawal Peribadi Sulit kepada Raja Muda Selangor dan memperdaya orang ramai diserahkan kepada polis untuk siasatan.
Menurut kenyataan itu, Istana Selangor memandang serius isu berkenaan dan menyerahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat siasatan menyeluruh dengan adil dan telus.
Istana Selangor turut memohon kerjasama orang ramai supaya membuat semakan dengan pihak pentadbiran istana sekiranya terdapat sebarang dakwaan yang mengaitkan kedudukan seseorang dengan institusi berkenaan sebelum melakukan apa-apa urusan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
