Konon beli makanan kucing, suami dicekup isteri di rumah janda

JAKARTA - Helah seorang suami yang meminta izin isterinya untuk keluar membeli makanan kucing terbongkar apabila lelaki itu ditemukan berada di rumah seorang wanita lain yang berstatus janda di Kejayan, Pasuruan, Jawa Timur, Indonesia.
Menurut laporan Tribun Timur, lelaki berkenaan meninggalkan rumah kira-kira jam 10 malam waktu tempatan dengan alasan mahu membeli makanan untuk haiwan peliharaan mereka.
Bagaimanapun, selepas beberapa jam menunggu tanpa kepulangan suaminya, wanita itu mula berasa curiga sebelum mengambil keputusan untuk mencarinya.
Pencarian tersebut akhirnya membawa si isteri ke rumah seorang janda, tempat suaminya ditemukan kira-kira jam 2 pagi waktu tempatan pada Rabu.
Kejadian itu dirakam menerusi video yang kemudiannya tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi orang ramai.
Dalam rakaman berkenaan, wanita yang dipercayai pemilik rumah dilihat mengenakan tudung coklat dan baju biru sambil menutup wajahnya ketika dirakam.
Suami yang memakai kemeja-T hitam pula kelihatan berdiri berhampiran wanita tersebut.
Individu yang merakam kejadian turut kedengaran meluahkan kemarahan dan menyindir alasan membeli makanan kucing yang diberikan lelaki itu sebelum meninggalkan rumah.
Rakaman berkenaan mencetuskan perhatian pengguna media sosial yang mempersoalkan tindakan lelaki tersebut, khususnya selepas isterinya terpaksa mencarinya pada awal pagi.
Setakat laporan diterbitkan, belum terdapat pengesahan rasmi berhubung dakwaan hubungan sulit antara kedua-duanya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
