Ujian Covid-19 di Singapura tidak lagi terpakai: Exco

Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu berhubung pengurusan kemasukan melalui pintu masuk antarabangsa di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar di sini atau di CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah.
Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu berhubung pengurusan kemasukan melalui pintu masuk antarabangsa di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar di sini atau di CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu berhubung pengurusan kemasukan melalui pintu masuk antarabangsa di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar di sini atau di CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, rakyat Malaysia di Singapura yang mempunyai surat ujian koronavirus (Covid-19) dari republik itu tidak lagi terpakai dan tiada lagi kuarantin di rumah sebaliknya perlu menjalani prosedur baharu yang ditetapkan.

"Ketibaan warganegara, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang yang memasuki negara ini perlu melalui pengimbas suhu. Sekiranya didapati tidak demam, saringan kesihatan akan dijalankan sebelum individu dalam siasatan (PUI) dan individu dalam pemerhatian (PUS) yang mempunyai penyakit kritikal dirujuk ke hospital ataupun dihantar ke pusat kuarantin.

"Sekiranya demam, individu yang memasuki negara ini akan terus dirujuk ke hospital," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga semalam, republik itu mencatatkan pertambahan 1,037 kes positif baharu Covid-19 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes kumulatif positif di Singapura kini adalah 11,187 kes.

Justeru katanya, petugas Kementerian Kesihatan dan Jabatan Imigresen (JIM) Johor akan memastikan kemasukan warganegara Malaysia yang pulang dari Singapura akan terus dipantau dan wajib melalui proses SOP baharu yang ditetapkan.

Sementara itu, beliau berkata, borang Bantuan Tunai Ihsan Johor Covid-19 Johor yang tular dalam media sosial bukan untuk edaran awam sebaliknya wakil atau penyelaras sebagai pemudah cara dilantik mewakili kerajaan Johor untuk mengenal pasti golongan yang tidak mendapat apa-apa bantuan.

Jelasnya, wakil atau penyelaras itu dilantik pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pejabat Daerah kerana mereka mengenali dan memahami realiti sebenar masyarakat setempat yang terjejas.

Artikel Berkaitan:

"Penentuan kepada mereka yang layak menerima bantuan itu tertakluk kepada penilaian akhir oleh sistem e-Ihsan Johor di bawah kendalian Perbendaharaan Negeri Johor. Justeru, saya berharap penjelasan ini dapat menjelaskan kekeliruan rakyat di negeri ini," katanya.

Baru-baru ini, kerajaan Johor mengumumkan bantuan itu berjumlah RM250 hingga RM500 bagi membantu rakyat di negeri ini yang layak akibat terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak pandemik Covid-19.