Tahanan rumah Najib: 'Pemimpin utama mereka sendiri yang bawa ke Lembaga Pengampunan' – MB Johor

Onn Hafiz yang Pengerusi UMNO Johor berkata, kebiadaban dan penderhakaan terhadap institusi raja tidak boleh dinormalisasikan.
Onn Hafiz yang Pengerusi UMNO Johor berkata, kebiadaban dan penderhakaan terhadap institusi raja tidak boleh dinormalisasikan.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Sebarang persoalan atau kekeliruan berhubung pelaksanaan perintah pengampunan bersyarat perlu dirujuk kepada kerajaan dan pihak bertanggungjawab, bukannya menjadikan Istana sebagai sasaran pertikaian politik.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sekiranya terdapat kekeliruan pimpinan DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Majlis Peguam sepatutnya penjelasan perlu diperoleh daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, perkara itu kerana Anwar sendiri pernah menyatakan dalam sesi Dewan Rakyat pada 10 Disember 2024 bahawa beliau yang membawa kes pengampunan berkenaan untuk dimasukkan dalam agenda.

"Pemimpin utama mereka sendiri yang bawa ke Lembaga Pengampunan.

"Inilah perangai sebenar mereka dan ini bukan kali pertama Tony Pua dan konco-konco DAPnya mencetuskan hasutan serta kontroversi membabitkan institusi diraja.

"Sebelum ini pun beliau pernah disiasat polis susulan kenyataannya berhubung titah Sultan Selangor. Kini, sekali lagi Istana mahu diheret ke dalam pertikaian politik," katanya.

Terdahulu, Tony Pua menerusi hantaran Facebook pada Selasa mempersoalkan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak susulan sabitan kes SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selain mencadangkan persoalan mengenai keputusan pengampunan itu diajukan kepada pihak Istana.

Dalam perkembangan sama, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang juga Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu mencadangkan semua banduan diberi peluang menjalani separuh tempoh hukuman di penjara, manakala baki hukuman diteruskan menerusi tahanan rumah.

Sementara itu, Majlis Peguam mencabar pelaksanaan tahanan rumah Najib menerusi tindakan undang-undang atas alasan ia tidak berperlembagaan.

Artikel Berkaitan:

Onn Hafiz yang Pengerusi UMNO Johor berkata, kebiadaban dan penderhakaan terhadap institusi raja tidak boleh dinormalisasikan.

Beliau menjelaskan setiap banduan mempunyai hak untuk memohon pengampunan, manakala kuasa pengampunan adalah hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, keputusan itu dibuat melalui proses Lembaga Pengampunan yang turut membabitkan wakil Kerajaan Persekutuan dan Peguam Negara.

Malah, beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong sendiri telah menitahkan bahawa perintah pengampunan bersyarat berkenaan adalah jelas dan perlu dihormati.

"Baginda turut menegaskan bahawa sebarang hujah yang mempertikaikan perintah berkenaan adalah sama seperti mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong.

"Jadi, mengapa Tony Pua masih mahu rakyat mengajukan persoalan kepada Istana? Kalau ada persoalan mengenai pelaksanaannya, tanyalah pihak yang bertanggungjawab.

"Jangan pula Istana dijadikan sasaran pertikaian politik," katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak terlalu ghairah berpolitik sehingga melupakan prinsip kedua Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!