Dua Timbalan Exco Bersatu akur jika digugurkan

KOTA BHARU - Dua Timbalan Exco Kerajaan Kelantan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka berdepan perubahan kedudukan susulan perkembangan politik membabitkan parti itu di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Ipoh, Mohamad Bahari Md Nor berkata, beliau menjangkakan kedudukannya sebagai Timbalan Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan negeri turut terjejas, begitu juga ADUN Paloh, Datuk Shaari Mat Husain yang merupakan Timbalan Exco Pertanian, Industri, Agro Makanan dan Komuniti.
Menurut beliau, jangkaan itu dibuat berdasarkan kedudukan mereka berdua yang mewakili Bersatu dalam barisan pentadbiran kerajaan negeri.
Bagaimanapun, ujarnya, setakat ini masih belum menerima sebarang notis atau surat rasmi berhubung perkara berkenaan.
"Ya, saya masih menjalankan tugas sehingga mendapat notis ataupun keputusan yang muktamad.
"Kita akur dan reda dengan sebarang keputusan yang bakal tiba," katanya kepada pemberita.
Terdahulu pada Rabu, Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor sah digugurkan sebagai exco kerajaan negeri berkuat kuasa pada Isnin lalu.
Perkara tersebut disahkan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mohamad Bahari memberitahu, beliau tidak menyimpan sebarang rasa dendam sekiranya berlaku perubahan terhadap kedudukannya dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Sebaliknya, beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat dan memikul tanggungjawab sebagai sebahagian daripada barisan pentadbiran.
"Saya berterima kasih juga kepada Kerajaan Negeri Kelantan yang telah memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat.
"Saya telah cuba melaksanakan tanggungjawab saya dengan sehabis baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

