Lipas terbang, merayap satu badan pemberita ketika siaran langsung

LOS ANGELES - Tular di media sosial apabila seorang wartawan penyiaran wanita berjaya mengekalkan profesionalisme dan ketenangannya semasa siaran langsung televisyen meskipun seekor lipas sebesar ibu jari tiba-tiba merayap pada tubuhnya.
Wartawan KTLA News, Rachel Menitoff ketika itu sedang membuat liputan mengenai keadaan berbahaya akibat cuaca panas melampau di Sherman Oaks, California pada petang Rabu lalu.
Bagaimanapun, laporannya bertukar menjadi detik yang tidak dijangka apabila lipas mengganggu segmen berkenaan.
Rachel kemudian memuat naik rakaman siaran tersebut di Instagram yang memaparkan lipas besar hinggap di lehernya sebelum merayap ke seluruh badan, bergerak ke arah mikrofon dan akhirnya terbang meninggalkannya.
“Iya, inilah lipas terbang,” menurut kapsyen yang dipaparkan pada video tersebut.

Walaupun riak wajahnya jelas terlihat dapat merasai kehadiran serangga itu, Rachel tetap meneruskan laporan sehingga selesai tanpa berhenti atau menunjukkan kepada penonton bahawa dia terganggu dengan kejadian berkenaan.
Sebaik sahaja siaran tamat, video menunjukkan Rachel segera menepuk-nepuk bahunya sambil menggigil dan mencari lipas tersebut.
Kedengaran seseorang di luar kamera ketawa sebelum bertanya, 'macam mana awak langsung tak bergerak?'
Rachel kemudian berseloroh mengenai insiden itu menerusi kapsyen di Instagram dengan berkata lipas tersebut 'cuba mencuri tumpuan saya'.
KTLA turut memuat naik klip berkenaan di platform X, dengan rakan-rakan sekerjanya memberikan reaksi terhadap insiden melucukan itu.
“Pendaratan mengejut! Seekor serangga mengganggu siaran langsung wartawan kami malam tadi dan kami harus memuji tahap profesionalismenya.
"Siapa lagi yang mampu kekal setenang ini?” tulis stesen televisyen terbabit.
Kejadian haiwan atau serangga mengganggu wartawan ketika siaran langsung bukan perkara baharu dalam dunia penyiaran, malah banyak insiden seumpamanya pernah tular.
Pada 2020, wartawan CNN, Joe Johns terpaksa menghalau seekor rakun di halaman Rumah Putih beberapa saat sebelum bersiaran langsung, bahkan mengakui ia kali kedua perkara itu terjadi kepadanya.
Pada 2021, laporan cuaca secara langsung oleh seorang wartawan di Moscow pula terganggu apabila seekor anjing merampas mikrofonnya sebelum melarikan diri.
Pada penghujung 2022, seorang wartawan di Kenya tular selepas seekor anak gajah yang terlalu manja mengganggu laporannya mengenai kesan aktiviti manusia terhadap alam sekitar.
Dalam satu lagi insiden pada 2019 di Kineta, Greece, satu temu bual secara langsung terhenti secara dramatik apabila seekor babi betina bersaiz besar tiba-tiba menunjukkan ‘kemesraan’ terhadap seorang wartawan lelaki yang sedang bersiaran.
Walaupun semua kejadian itu mengejutkan pada saat ia berlaku, pengalaman Menitoff dianggap jauh lebih menggerunkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
