Filem Takdir Terakhir: Last Dive bawa mesej pemuliharaan lautan, tonjol keupayaan OKU

Wendy (tiga dari kanan) bersama Ras Adiba (tengah) yang membuat penampilan khas dalam Filem Takdir Terakhir: Last Dive.FOTO SINAR HARIAN-ASRIL ASWANDI SHUKOR
Wendy (tiga dari kanan) bersama Ras Adiba (tengah) yang membuat penampilan khas dalam Filem Takdir Terakhir: Last Dive.FOTO SINAR HARIAN-ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Filem Takdir Terakhir: Last Dive mengetengahkan mesej pemuliharaan hidupan marin dan terumbu karang, selain membuktikan kekurangan fizikal bukan penghalang kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk meneroka dunia bawah laut menerusi aktiviti selam skuba.

Penerbit dan pengarahnya, Datin Dr Wendy Wong berkata, idea menghasilkan filem berkenaan tercetus selepas beliau menyaksikan sendiri keupayaan individu OKU melakukan aktiviti menyelam ketika berada di Amerika Syarikat.

Menurutnya, pengalaman bertemu seorang jurulatih selam skuba OKU yang menunjukkan video individu tanpa kaki dan tangan mampu menyelam telah membuka perspektif baharu kepadanya.

"Apabila melihat video individu tanpa kaki dan tangan yang masih mampu melakukan aktiviti menyelam, saya sangat terkejut.

"Daripada situ, saya terfikir untuk menghasilkan sebuah filem yang menceritakan keupayaan golongan OKU," katanya.

Filem Takdir Terakhir: Last Dive.
Filem Takdir Terakhir: Last Dive.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Official Poster dan Trailer Filem Takdir Terakhir: Last Dive serta Pertandingan Nyanyian OST di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Rabu.

Pelancaran poster rasmi filem disempurnakan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Dr Hans Isaac, manakala treler rasmi dilancarkan Pengasas Mines Beach Resort Hotel & Wellness Kuala Lumpur, Tan Sri Lee Kim Yew dan pertandingan nyanyian pula dilancarkan Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Wendy berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira setahun untuk memasarkan idea filem berkenaan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Berlin dan Hong Kong sebelum memutuskan untuk meneruskan projek itu.

Bagaimanapun, beliau mengakui berdepan kesukaran mendapatkan sokongan pembiayaan kerana pihak yang ditemui lebih cenderung mencadangkan penerbitan filem bergenre seram atau aksi yang dianggap mempunyai potensi komersial.

"Filem aksi dan seram sudah banyak dihasilkan. Saya mahu menghasilkan filem yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut membawa mesej penting kepada masyarakat," ujarnya lagi.

Muhammad Nasir (kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang cabutan bertuah.
FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
Muhammad Nasir (kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang cabutan bertuah. FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR

Menurut Wendy, pihaknya kemudian menerima bantuan sebanyak RM500,000 daripada FINAS bagi merealisasikan penerbitan filem berkenaan.

Beliau menambah, kos penerbitan yang tinggi, khususnya bagi penggambaran bawah air, menyebabkan beliau terpaksa memikul sendiri tanggungjawab sebagai pengarah dan penulis skrip.

Katanya, penggambaran filem berkenaan turut berdepan pelbagai cabaran termasuk keperluan menyediakan kemudahan mesra OKU, pengurusan pelakon serta pematuhan prosedur keselamatan aktiviti menyelam.

Malah, Wendy bersama pasukannya turut mengikuti kursus menyelam bagi memahami selok-belok aktiviti berkenaan sebelum menjalankan penggambaran.

Menurutnya, pengalaman mengikuti kursus selama beberapa hari membuatkan dirinya memahami cabaran yang perlu dihadapi penyelam ketika berada di bawah air.

Selain mengetengahkan keupayaan OKU, filem berkenaan turut memberi perhatian kepada ancaman terhadap hidupan marin, khususnya kesan pembuangan pukat yang boleh menyebabkan ikan dan penyu terperangkap.

Wendy berkata, pihaknya berusaha mendapatkan gambaran yang sesuai bagi menunjukkan kesan ancaman berkenaan, namun perlu mematuhi peraturan yang melarang tindakan menyentuh atau menangkap penyu.

"Kami mahu penonton memahami bahawa pukat yang dibuang ke laut boleh mengancam hidupan marin termasuk ikan dan penyu.

"Sebab itu, kita perlu menjaga dan melindungi lautan daripada pencemaran serta perbuatan yang boleh memusnahkan ekosistem marin," katanya.

Wendy (belakang, tengah) pada Majlis Pelancaran Official Poster dan Trailer Filem Takdir Terakhir: Last Dive serta Pertandingan Nyanyian OST di WTC Kuala Lumpur pada Rabu.FOTO SINAR HARIAN-ASRIL ASWANDI SHUKOR
Wendy (belakang, tengah) pada Majlis Pelancaran Official Poster dan Trailer Filem Takdir Terakhir: Last Dive serta Pertandingan Nyanyian OST di WTC Kuala Lumpur pada Rabu.FOTO SINAR HARIAN-ASRIL ASWANDI SHUKOR

Dalam pada itu, beliau berkata, cabaran penggambaran bawah air turut dipengaruhi keadaan cuaca dan tahap penglihatan dalam air yang boleh menjejaskan kualiti rakaman.

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan pihaknya terpaksa melakukan penggambaran semula walaupun filem berkenaan sudah disiapkan bagi memastikan keindahan perairan Malaysia dapat dipaparkan dengan lebih baik.

Wendy berkata, filem berkenaan mendapat perhatian positif selepas ditayangkan kepada pembeli dan ejen filem antarabangsa di Cannes, sekali gus membuka peluang untuk membawa mesej pemuliharaan lautan ke peringkat lebih luas.

"Mereka menyifatkan Malaysia sebagai antara peneraju dalam usaha pemuliharaan lautan kerana mesej berkenaan masih kurang diketengahkan menerusi filem.

"Saya tidak mengatakan filem ini sempurna kerana kekangan kewangan, tetapi sekurang-kurangnya saya berjaya menyampaikan mesej yang ingin dibawa," kongsinya.

Filem yang menjalani penggambaran selama kira-kira tiga minggu di Summer Bay Resort, Pulau Lang Tengah itu turut mendapat sokongan beberapa pihak termasuklah Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Filem Takdir Terakhir: Last Dive terbitan Syarikat Produksi Seni Duapuluh Duapuluh Sdn Bhd itu akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 3 Disember 2026.

Filem itu menampilkan barisan pelakon termasuk Aniq Durar, Shiqin Kamal, Amerul Affendi, Fify Azmi, Sandra Lim dan Fauziah Latiff, selain penampilan khas Datuk Ras Adiba Radzi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!